BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Apakah hukum orang Islam, Menjual, membeli, menyentuh,membawa daging babi kepada orang bukan Islam. Adakah pekerjaan itu dilaknat dan berdosa besar disisi Allah jika pekerja Islam terlibat dalam urusan jual beli babi atau khinzir ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Umum mengetahui bahawa khinzir atau babi merupakan binatang yang diharamkan oleh Allah kepada orang Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 173:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ ۖ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah dan daging babi serta binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah

Berdasarkan soalan tuan, hukum orang membawa, menjual atau membeli babi tertakluk kepada syarat jual beli dalam Islam iaitu antaranya barang yang dijual hendaklah bukan najis. Babi termasuk perkara najis dan haram dalam Islam, jadi tidak sah dan haram jual beli tersebut. Rasulullah SAW bersabda bahawa:

‌إِنَّ ‌اللَّهَ ‌وَرَسُولَهُ ‌حَرَّمَ ‌بَيْعَ ‌الْخَمْرِ ‌وَالْمَيْتَةِ ‌وَالْخِنْزِيرِ، ‌وَالْأَصْنَامِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan berhala. (Hadis al-Bukhari dan Muslim)

Manakala menyentuh babi dengan sengaja adalah haram dalam Islam dan wajib sertu jika diyakini menyentuh babi. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa segala yang berkaitan dengannya adalah haram bagi seorang muslim mengerjakannya kerana jika Allah SWT mengharamkan memakan sesuatu, maka haramlah apa-apa yang berkaitan dengannya. Sebagai seorang Muslim adalah sebaiknya tidak terlibat secara langsung dengan pekerjaan jual beli yang berkaitan dengan khinzir kerana dikhuatiri mendapat kemurkaan dari-Nya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 186

message user image