BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Apakah implikasi dari segi syarak dan perundangan sekiranya saya sebagai wali iaitu ayah kandung kepada anak perempuan melaksanakan akad nikah terhadap lelaki pilihan anak perempuan mengikut rukun dan syarat-syarat sah nikah tanpa melalui prosedur undang-undang terlebih dahulu. Ini kerana masa yang agak panjang diperlukan bagi memenuhi prosedur yang ditetapkan.

Ini sebagai langkah awal mendapatkan ikatan secara sah secara syarak memandangkan anak saya dan bakal suaminya bekerja di luar negara dan merancang untuk berkawin tahun 2024. Mereka akan pulang ke Malaysia untuk urusan kursus kawin dan sebagainya pada hujung Disember 2023. Ianya juga sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini yang ditegah oleh agama Islam dari berlaku. 

Pohon nasihat dan pandangan segera dari tuan .

Sekian. Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dinyatakan berkaitan akad nikah perkahwinan yang tidak dibenarkan.

Sebagaimana yang dinyatakan di bawah seksyen 39: Seseorang yang mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan sesuatu perkahwinan manakala dia tidak diberi kuasa di bawah Enakmen ini, adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua duanya denda dan penjara itu.

Manakala di bawah seksyen 40. (1) pula dijelaskan: Seseorang yang dengan diketahuinya mengakadnikahkan atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan—

(a) tanpa ada kebenaran berkahwin sebagaimana dikehendaki oleh seksyen 19; atau

(b) di hadapan selain di hadapan sekurang-kurangnya dua orang saksi yang boleh dipercayai di samping orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu,

adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara itu.

Oleh yang demikian, tindakan wali iaitu ayah kandung kepada anak perempuan melaksanakan akad nikah terhadap lelaki pilihan anak perempuannya walaupun sempurna rukun dan syarat-syarat sah nikah tetapi tidak dilaksanakan melalui prosedur undang-undang yang telah dikanunkan oleh pemerintah atau ulil amri terlebih dahulu, maka ia merupakan satu kesalahan sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Sedikit nasihat untuk kita semua, sebenarnya urusan pernikahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama tidaklah rumit dan menyusahkan kepada mana-mana orang. Ia telah mengambil kira maslahah dan maqasid yang terbaik untuk kemudahan orang awam yang ingin berurusan dalam perkara ini. Sekiranya ada sebarang kekangan atau kesulitan, pihak berkuasa agama senantiasa membuka ruang untuk perbincangan dan rundingan agar setiap kekangan yang dihadapi oleh pelanggan dapat dibantu dengan baik dan sesuai tanpa mengenepikan peraturan sedia ada. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 138

message user image