Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz, saya ada persoalan berkaitan najis mughallazah. Situasinya seperti berikut:
Suami saya ada berkunjung ke sebuah bengkel yang dimiliki oleh non muslim yang mana ada seekor anjing berkeliaran di situ. Oleh itu secara tidak langsung suami saya berkemungkinan telah melalui laluan yang sama dengan anjing tersebut. Tanah yang dilalui mungkin dalam keadaan lembab kerana malam sebelumnya hujan. Adakah perlu sertu selipar suami saya ustaz? Macam mana pula dengan karpet dengan segala pedal dalam kereta? Terima kasih ustaz.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan:
الأصل في الأشياء الطهارة
Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:
اليقين لا يزول بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.
Oleh itu, merujuk kepada persoalan puan, berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka tiada najis pada selipar, karpet dan pedal kereta suami puan sekalipun suami puan telah melalui kawasan yang telah dilalui oleh anjing. Perbuatan sertu dilakukan apabila yakin terdapatnya najis sama ada pada pakaian, kulit atau kasut sahaja.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.