Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Siapakah golongan salafi? Adakah mereka termasuk dalam ahlus sunnah wal jamaah?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, perkataan Salafi adalah kata nisbah bagi al-salaf. Dari segi bahasanya, al-salaf bermaksud orang-orang yang mendahului atau hidup sebelum zaman kita. Istilah al-salaf secara mudah untuk difahami adalah merujuk kepada generasi awal Islam iaitu para sahabat Nabi S.A.W, para Tabi’in dan Tabi’ al-Tabi’in dan para Imam yang mewarisi ilmu dan pendidikan dari generasi awal tersebut. Firman Allah SWT: فَجَعَلْنَاهُمْ سَلَفًا وَمَثَلًا لِّلْآخِرِينَ Maksudnya : “Maka kami jadikan mereka contoh dan pengajaran bagi orang-orang yang datang kemudian.” (az-Zukhruf : 56) Maka golongan salafi juga termasuk dalam ahli Sunnah wal jamaah kerana golongan ini berpegang kepada al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.