BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Saya merupakan salah seorang menggunakan kerusi apabila solat fardhu. Saya tidak dapat melakukan sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat awal serta akhir macam orang lain. Justeru itu saya menggunakan kerusi untuk berbuat demikian. Persoalan saya adalah

1) Cara solat yang betul menggunakan kerusi dengan mengambil kira sujud mestilah lebih rendah dari rukuk.

2) Kedudukan kaki depan dan belakang kerusi di dalam saf

3) Lokasi penempatan kerusi yang sebetulnya. Ada yang mengatakan perlu ditempatkan di hujung kanan atau kiri saf. Bagaimana pula jika ditempatkan di tengah saf sekiranya ruang saf kanan dan kiri telah diambil orang

Sekian, mohon penjelasan dari pihak Ustaz.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, salah satu rukun solat  adalah qiyam (berdiri) .Sepertimana yang disebutkan dalam Kitab al-Fiqh al-Manhaji  bahawa wajib berdiri bagi mereka yang mampu melakukannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

MaksudnyaBersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring. (Riwayat al-Bukhari)

Orang yang mampu berdiri pada sebahagian solatnya dan tidak berdaya pada sebahagian yang lain, hendaklah berdiri setakat yang termampu dan bolehlah duduk pada semua bahagian yang lainnya.

1) Setelah meneliti permasalahan yang dikemukakan, tuan dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi apabila keadaan penyakit yang tuan alami menjadi terlalu kronik. Namun, perlu diambil maklum semasa menunaikan solat secara duduk tersebut, jika tuan mampu untuk berdiri dan rukuk tetapi tidak mampu untuk sujud dan duduk (iftirasy / tawarruk / tarabbu’ / lainnya) maka;

a) Wajib qiyam ketika takbiratul ihram dan membaca Surah Al-Fatihah serta rukuk dan iktidal secara lazimnya.

b). Rukun sujud dilaksanakan dalam keadaan duduk sama ada duduk di atas lantai (paling utama) atau duduk di atas kerusi (bagi yang tidak mampu duduk di atas lantai kerana sakit lutut dan sebagainya).

2. Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.

3. Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf kanan atau kiri. Jika ditempatkan ditengah-tengah saf tidak menjadi satu kesalahan dan perlu memastikan para (2) di atas dapat dipatuhi.

Sila rujuk buku panduan di laman ini untuk maklumat lanjut. https://mufti.penang.gov.my/index.php/2014-11-12-02-48-39/penerbitan/buku/457-buku-panduan-solat-menggunakan-kerusi-disebabkan-keuzuran-2019/file

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 200

message user image