BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

APAKAH HUKUM MENGAMBIL SUNTIKAN LIRAGLUTIDE SEMASA IBADAH PUASA?

Saya merujuk kepada persoalan penggunaan suntikan ubat bernama Liraglutide sewaktu ibadah puasa yang dipaparkan di Maktabah Al-Bakri (https://maktabahalbakri.com/suntikan-liraglutide-semasa-berpuasa/) pada 24 Mac 2023. 

1. Adakah suntikan Liraglutide memberikan tenaga? 

Kefahaman saya adalah liraglutide tidak memberikan tenaga baru kepada badan manusia kerana liraglutide berperanan untuk membantu pankreas supaya mengeluarkan insulin sesuai dengan kandungan gula atau tenaga dalam darah. Insulin kemudiannya membolehkan tenaga yang sedia ada dalam darah untuk masuk ke dalam sel badan. Bagi pesakit diabetes dan obesiti, wujud kerintangan dan kekurangan kepada penghasilan insulin sedia ada. Ini menyebabkan tubuh pesakit memerlukan lebih insulin untuk menggunakan tenaga yang berada dalam darah. Oleh itu, liraglutide tidak memberikan tenaga baru kepada badan. Liraglutide membantu badan menggunakan tenaga sedia ada dalam badan, bila mana penyakit diabetes dan obesiti menghalang proses tersebut berjalan dengan sepatutnya. 

2. Merujuk kepada saranan supaya suntikan liraglutide dibuat pada waktu malam, sepengetahuan saya, ubat tersebut bertindak balas dalam badan manusia sekurang-kurangnya 24 jam dan boleh berada dalam badan sehingga 72 jam. 

3. Memandangkan umat Islam dijangka mula berpuasa Ramadan pada 12 Mac 2024 dan ubatan atau temujanji doktor biasanya dibuat sekurangnya setiap tiga bulan, saya berpandangan sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita menjelaskan persoalan ini kepada pesakit dan pengamal perubatan. 

Atas perhatian dan maklumbalas pihak Jabatan Mufti Negeri Selangor, saya doakan jazakumullahu khairan kathira. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan dengan sengaja sesuatu objek ke melalui saluran terbuka (manfaz maftuh) sehingga ke rongga (jauf) seperti mulut, hidung dan dubur. Manakala kulit bukan suatu rongga yang terbuka. 

Terdapat perselisihan pandangan dalam kalangan ulama dalam isu mengambil suntikan yang mempunyai nutrisi ketika berpuasa. Kami berpandangan bahawa suntikan yang bernutrisi atau memberi tenaga adalah membatalkan puasa. Ini adalah kerana ia menyamai kesan makan dan minum dengan sengaja. Sebaliknya, suntikan yang tidak bernutrisi seperti ubat-ubatan maka ia tidak membatalkan puasa sama ada suntikan itu ke dalam kulit/ otot atau ke dalam saluran darah kerana ia bukannya rongga.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, kami dapati bahawa suntikan Liraglutide bukanlah suntikan yang bernutrisi atau memberi tenaga, maka ia tidak membatalkan puasa.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 274

message user image