Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Apakah kadar bagi najis yang dikira sedikit bagi mazhab syafiie? Jika mengikut uruf, adakah terdapat satu guideline bagi tentuan uruf?
Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Tiada garis panduan khusus menentukan kadar najis yang dianggap sedikit atau dianggap banyak mengikut uruf. Apa yang dinyatakan oleh para ulamak adalah seandainya pada kebiasaanya atau pada pandangan umum setempat mengatakan kadar sesuatu najis itu sedikit, maka ia dianggap sedikit. Manakala, sekiranya pada kebiasaanya atau pada pandangan umum mengatakan kadar sesuatu najis itu banyak, maka ia dianggap banyak.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa garis panduan hukum yang boleh diambil kira di dalam membicarakan kadar najis sedikit yang dimaafkan atau tidak dimaafkan ketika solat seperti berikut:
1. Percikan kencing, darah yang halus, walaupun daripada najis mughallazah, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar adalah dimaafkan.
2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempat solat yang bukan disebabkan oleh perbuatannya sendiri atau disengajakan.
Namun, jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, seperti membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.
3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, pakaian atau tempat solat dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, maka ia tidak dimaafkan walaupun hanya sedikit. Darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya juga dianggap sebagai darah ajnabi.
والله أعلم بالصواب