Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt. Tuan,
Saya ada kemusykilan tentang perdebatan mengenai penggunaan barangan pencuci harian seperti pencuci pakaian, sabun mandi, pencuci pinggan mangkuk, pencuci lantai, ubat gigi dan sebagainya yang mewajibkan umat islam mencari produk yang mempunyai pengiktirafan halal. yang kebiasaannya pengiktirafan Halalan Toyyiban ni lebih ditekankan keatas pemakanan.
Persoalan saya :
1) Adakah wajib umat islam menggunakan produk pencucian yang diiktiraf halal?
2) Adakah ada keringanan dalam menggunakan produk pencucian yang tiada pengiktirafan halal?
kerana antara sebabnya mungkin kesukaran mendapatkan produk yang diiktiraf halal.
3) Bagaimana jika produk homemade atau IKS atau kampung yang tiada pengiktirafan halal?
kerana ada dakwaan yang mempromosikan produk mereka yang tiada halal tapi dibuat oleh 100% Muslim.
Sekian, Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
1. Menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk memastikan bahan pencuci harian yang digunakan adalah tidak mengandungi bahan yang diharamkan di dalam Islam penggunaannya seperti najis, arak dan sebagainya. Firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 157:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Bermaksud: Dan Dia (Allah) menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.
Termasuk di dalam benda yang buruk itu adalah najis, darah, bangkai dan yang lainya. Salah satu cara mudah untuk memastikan bahan pencuci harian yang digunakan tidak menggandungi bahan yang diharamkan adalah dengan memastikan terdapat logo atau pengiktirafan halal daripada mana-mana badan berautoriti berkenaan seperti logo halal JAKIM dan seumpama dengannya. Memilih pencuci harian yang diiktiraf halal dilihat sebagai usaha untuk mencari serta menggunakan pencuci harian yang tidak mengandungi unsur atau bahan yang diharamkan di dalam Islam.
2. Apa yang menjadi kewajipan adalah menggunakan produk pencuci yang halal iaitu yang tidak mengandungi unsur atau bahan yang haram dengan cara memilih produk yang terdapat logo atau pengiktirafan halal. Sekiranya amat sukar didapati di pasaran, maka harus menggunakan produk lain yang terbukti tidak mengandungi bahan yang diharamkan.
3. Sebagai pengguna, menggunakan produk yang diiktiraf atau memiliki logo halal adalah suatu usaha untuk memenuhi tanggungjawab memastikan produk yang digunakan adalah suci dan tidak mengandungi unsur yang diharamkan, di samping menghilangkan rasa ragu dan was-was. Sekiranya produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) buatan orang Islam diyakini halal, maka harus untuk menggunakannya.
والله أعلم بالصواب: