Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz saya ada pertanyaan tentang hukum bekas tapak kaki anjing pada simen kawasan rumah saya.kawasan rumah saya anjing selalu berkeliaran dan kadang kala lepak dan baring atas lantai mozek dan kadangkala ada bekas tanah tapak kaki anjing yg sudah kering pada lantai mozek.jika kasut saya basah dan terpijak bekas tapak kaki itu dan masuk ke dalam kereta adakah ianya najis dan jika ianya najis.adakah najis itu berpindah pada karpet dalam kereta saya.Sekian teruma kasih mohon penjelasan dari ustaz
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang suci itu kekal dianggap suci sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang suci itu kepada bernajis. Sebagaimana kaedah fiqh:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Adapun bekas tapak kaki anjing pada lantai simen yang telah kering tidak perlu disertu. Melainkan sekiranya jelas dipastikan terdapat ain najis anjing, maka ketika itu perlu sucikan dengan menyertu kawasan yang terkena najis anjing tersebut. Sehubungan itu, jika kasut yang basah memijak kesan tapak kaki anjing tersebut maka ianya tidak menjadikan tapak kasut tersebut turut bernajis serta tidak menajiskan kawasan yang dipijak oleh kasut tersebut.
والله أعلم بالصواب
Terima kasih.