BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Soalan: Assalamualaikum. Disini saya ingin minta nasihat dan pandangan dari pihak tuan ttg masalah rumahtangga yaang dihadapi.suami saya bekerja tetapi gaji nya setiap bulan diperuntukkan untuk membayar segala hutang peribadinya dan belanja untuk dirinya sahaja sedangkan saya mempunyai 3 orang anak dan saya juga tidak diberi nafkah kerana alasannya tidak cukup kerana membayar hutang piutangnya. Saya memang bekerja namun jika setiap bulan saya menanggung semua belanja rumah, persekolahan anak dan segala bil2, ini agak membebankan saya seorang. Setiap awal tahun persekolahan saya perlu berkorban untuk membayar segala belanja sekolah anak2' berseorangan.ini agak berat untuk saya menanggung.hal ini berlanjutan sudah lebih 3 tahun.apa harus saya buat dan pandangan ustaz ttg masalah saya ini? Saya sudah ajak berbincang hal ini tetapi suami buat tak tahu. Bagaimana ya cara utk selesaikan mslh ini. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

Merujuk kepada persoalan puan, perlu fahami bahawa sesebuah perkahwinan itu hadir bersama hak dan tanggungjawab. Antaranya adalah hak dalam memberi nafkah zahir dan batin. Seorang isteri berhak menuntut haknya daripada suami. Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, jika sebagai isteri, puan redha dan bertabah hati, maka ia adalah lebih baik untuk rumahtangga puan. Namun, jika tidak, adalah dinasihatkan agar puan berterus terang dengan suami dan berbincang secara baik dan penuh hikmah. Sebagai suami pula, wajib baginya memberi nafkah kepada tanggungannya (isteri dan anak) mengikut kadar kemampuanya walaupun sedikit. Semoga beroleh berkah dalam rumahtangga. Firman Allah SWT : Maksudnya : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (at-Talaq : 7) Sebagaimana puan sedia maklum, bahawa suami juga masih mempunyai hutang dan beliau begitu komitmen untuk membayarnya. Dalam hal ini, jika puan masih boleh bersabar untuk mendahulukan perbelanjaan anak-anak dan keluarga, niatkanlah ia sebagai jariah/ sedekah puan juga. Memandangkan hutang suami juga wajib dilunaskan agar beliau tidak dibelenggu hutangnya dan akan menjadi tanggungan warisnya bila beliau telah meninggal dunia kelak. Fikirlah kesannya juga akan menambah beban puan dikemudian hari. Disarankan suami puan juga mendapatkan khidmat dan rujukan daripada Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk panduan dan bantuan. Semoga dalam perkara ini masing-masing boleh bertimbang rasa dan sama-sama berkerjasama membantu mengurus perbelanjaan rumahtangga dengan bijak. Puan beruntung masih berupaya untuk bekerja dan membantu urusan rumahtangga, dikala orang lain ramai yang dibuang kerja, tidak berupaya ekoran kecederaan yang dialami atau mempunyai tanggungan yang ramai. Ambillah dari sudut yang positif, sentiasa berusaha meningkatkan ekonomi rumahtangga, sentiasa istiqamah, kurangkan mengeluh, banyakkan berzikir dan bersyukur dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (at-Talaq : 2 – 3) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2018
Jumlah Pelawat : 197

message user image