Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Saya ingin bertanya, adakah saya kena ambil wudhu sekali lagi sekiranya saya ingin qadha solat selepas solat fardhu? Masalahnya saya ada masalah kencing tak lawas. Sebab saya pernah tengok video ustaz azhar idrus, dia kata kena lapik dengan tisu tapi hanya untuk satu solat fardhu saja. Tisu & wudhu kena tukar baru ke kalau saya nak solat qadha sejurus selepas solat fardhu?
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, puan berada dalam keadaan yang dikategorikan sebagai salisil baul iaitu kencing tidak lawas dan tidak terkawal. Menurut pandangan para fuqaha’, seseorang yang salisil baul mengambil hukum istihadhah (darah rosak/ penyakit) bagi perempuan iaitu terdapat hukum yang khusus bagi golongan ini dalam bab taharah. Ia juga termasuk dalam perbincangan keadaan seseorang yang sentiasa berhadas atau daimul hadas.
Air kencing seseorang yang dewasa merupakan najis mutawassitah yang perlu dicuci ketika hendak menunaikan solat kerana ia menjadi syarat sah solat . Masalah kencing tidak lawas walaupun sedikit kebiasaannya akan keluar berterusan dan tidak dapat dikawal. Oleh itu, puan perlu membasuh dan mencucinya dengan baik selepas masuk waktu solat, kemudian perlu dilapik dengan tisu atau pantyliner atau apa-apa sahaja lapik serta mengambil wuduk setiap kali puan ingin menunaikan solat fardu atau qadha solat fardu. Hal ini kerana satu wuduk hanya sah untuk satu solat fardu sahaja. Namun begitu, ia boleh digunakan untuk beberapa solat sunat. Beginilah cara atau kemudahan yang dibenarkan bagi mereka yang berada dalam keadaan kencing tidak lawas