BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Saya ada beberapa soalan yang ingin ditanyakan berkenaan hukum terjebak dengan perlatan dan perkakasan yang dikhuatiri terdedah dan tercemar kepada haiwan yang haram dimakan iaitu, khinzir.

Apakah hukumnya apabila peralatan seperti botol air (tong biru yang digunakan untuk water dispenser) telah terdedah kepada khinzir? Botol tersebut mungkin terdedah apabila tukang masak(bukan islam) memegang tong selepas memegang khinzir tersebut. Selain itu, percikan-percikan darah/air juga mungkin mengenai botol tersebut apabila tukang masak tersebut mencincang daging tersebut.

Dan apa pula hukumnya terhadap orang-orang disekeliling yang mengendalikan tong tersebut? (sama ada untuk urusan isian semula ataupun menghantar.) Hal ini kerana, orang yang mengendalikan tong tersebut merupakan orang Islam.

Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapat najis sama ada dari segi ain, warna atau rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila ia jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqah menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqah yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja.

Oleh itu, merujuk kepada persoalan tuan, berpegang kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu seperti bau, rasa dan warnanya, maka tiada najis pada tong tersebut. Perbuatan sertu dilakukan apabila yakin terdapatnya najis pada tong tersebut. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 149

message user image