BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz.

Saya ingin bertanya mengenai sertu. Ceritanya begini, lebih kurang 20 tahun lepas semasa saya baru pindah rumah dan kawasan rumah saya ada beberapa ekor anjing liar berkeliaran. Jadinya satu pagi semasa hendak keluar pergi kerja ketika hendak memakai kasut saya dapati satu stokin saya hilang dan saya mencarinya di luar rumah. Saya menjumpainya dan dapati ada beberapa helai bulu dan saya mengesyaki ianya adalah bulu anjing dan saya tak ingat samada kering atau basah. Jadi saya terus ambil tanpa sertu kerana diketika itu saya akui sangat jahil dan bodoh mengenai hukum hakam agama. Jadi persoalannya apakah status ibadah saya selama ini dan perlukah saya sertu diketika ini? Segala jawapan dan pencerahan dari ustaz amat saya hargainya.

Wasalam. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna. 

Oleh itu, bagi persoalan ditimbulkan tidak perlu disertu kerana perkara telah berlaku 20 tahun yang lalu. Dalam situasi 20 tahun yang lalu juga tuan tidak dapat meyakini sama ada terdapatnya najis yang sememangnya daripada anjing dan sama ada sifatnya kering atau basah. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan: 

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan. 

Ini kerana, asal sesuatu itu adalah suci sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja. Oleh itu, stoking yang disyaki terdapat beberapa helai bulu tersebut tidak perlu disertu kerana hanya sekadar disyaki bahawa bulu tersebut daripada anjing. Cukup sekadar dibersihkan dan dibasuh seperti biasa sahaja. 

Manakala amal ibadah yang telah dibuat selama 20 tahun yang lepas itu telah pun selesai berlaku, dipohon kepada tuan memohon doa kepada Allah SWT agar segala amal ibadah tersebut diterima oleh Allah SWT atas kekeliruan diri kita sebagai hamba-Nya yang kerdil.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 218

message user image