Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya mempunyai soalan. Jadi peristiwa ini berlaku sekitar 6-7 tahun lalu. Ketika ayah saya ingin menghantar saya ke sekolah pada waktu pagi, dia tidak sengaja melanggar seekor babi. Sejujurnya, saya tidak ingat sama ada terdapat cairan seperti darah ataupun najis babi tersebut melekat di kereta ayah saya. Dan saya juga merasakan saya tidaklah menyentuh bahgian hadapan kereta tersebut cumalah saya rasa saya hanya ada bersentuhan dengan bahagian pintu kereta sahaja ketika ingin menutup pintu kereta. Pada hari yang sama juga, saya ada perasan di bahagian pergelangan tangan baju saya terdapat kesan hijau hitam begitu yang tidaklah terlalu besar. Saya terus mengingati babi tersebut, adakah ini mungkin dari babi tersebut dimana mungkin najisnya yang tersebar ke pintu kereta ? Tetapi pada waktu tersebut saya cuma meyakinkan diri bahawa kesan itu mungkin dari sumber lain.
Jadi soalan saya, sekiranya saya tidak tahu sumber kotoran tersebut, adakah perlu untuk saya sertu juga baju tersebut. Dan sekiranya sememangnya kotoran itu berpunca dari babi tersebut, bagaimanakah dengan mesin basuh yang saya gunakan selama ini untuk membasuh baju sekeluarga. Adakah basuhan baju kami selama ini tidak bersih dan perlu disertu? Mohon penjelasan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna dan rasa. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing dan selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Oleh itu, bagi persoalan ditimbulkan tidak perlu disertu kerana perkara telah berlaku 6-7 tahun yang lalu. Dalam situasi tersebut juga, puan tidak dapat meyakini sama ada terdapatnya najis yang sememangnya daripada babi yang telah dilanggar oleh ayah. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: "Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan". Ini kerana pada asalnya, tiada najis sehingga dibuktikan adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka tidak perlu disertu. Jika tidak dapat dipastikan dan sekadar anggapan atau was-was maka ianya tidak perlu disertu dan hanya perlu dibersihkan seperti biasa sahaja baju tersebut.
Oleh itu, baju tersebut tidak perlu disertu dan segala pakaian yang dibasuh bersama juga tidak bernajis. Manakala mesin basuh tersebut juga tidak bernajis dan tidak perlu disertu.
Sekian, terima kasih.