BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,saya ingin bertanya selepas mandi saya rasa was-was sama ada air kencing keluar atau tidak dan terkena pada kain tuala atau tidak tetapi apabila saya bau tidak pula ada bau hancing.Kemudian, keesokan harinya saya basuh kain tuala tersebut dan bau kain tuala tersebut lalu saya was-was sama ada bau hancing atau bau hapak kerana kali pertama bau macam hancing tapi kali kedua saya bau tiba- tiba tidak ada bau hancing tersebut. Mohon pencerahan dari ustaz.Sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Sekiranya was-was sama ada terkena air kencing atau tidak pada kain tuala atau pada pakaian, maka sila abaikan selagi tidak diyakini terdapat bau, rasa atau warna air kencing pada tuala atau pakaian tersebut.

Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau sangkaan sahaja, maka ia kembali kepada kaedah fiqh yang menyatakan: 

الأصل في الأشياء الطهارة

Maksudnya: Hukum asal segala sesuatu adalah suci. 

Ini kerana pada asalnya, hukum setiap sesuatu itu adalah suci sehingga terbukti adanya najis dengan kehadiran salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna. Kaedah fiqh yang lain juga ada menyatakan bahawa:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat dihapuskan dengan keraguan. 

Berpeganglah kepada konsep umum iaitu selagi tidak ada najis yang jelas sifatnya iaitu bau, rasa atau warnanya, maka ia adalah suci. Tambahan pula, kain yang tebal seperti tuala apabila basah akan mengeluarkan bau dan tidak semestinya air kencing.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 100

message user image