BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya adakah betul sekiranya di lantai yang terdapat najis hukmiyah lalu kita mengemop lantai tersebut dengan kain yang basah akan berpindah najis ke merata tempat yang lainnya?

Sebab saya menjadi keliru kerana saya pernah mendengar bahawa jika kaki kita basah dan terpijak najis hukmiyah maka ia akan berpindah hanya pada tapak kaki kita sahaja dan kesan basahan yang terdapat pada kaki(terkena najis hukmiyah) tidak akan berpindah pada tempat lain...mohon penjelasan,sekian terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pada asasnya najis adalah sesuatu yang kotor dan ianya wajib dibersihkan dan disucikan. Ini berdasarkan kepada umum perintah Nabi SAW untuk membersihkan air kencing seorang badwi yang terdapat di masjid Nabawi. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَهْرِيقُوا عَلَى بَوْلِهِ ذَنُوبًا مِنْ مَاءٍ أَوْ سَجْلًا مِنْ مَاءٍ فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya: Siramkanlah kencing tersebut dengan sebaldi air atau sebekas besar yang penuh dengan air. Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak diutuskan untuk menyusahkan. (Riwayat al-Bukhari)

Najis hukmi adalah najis yang telah hilang ain serta sifatnya seperti warna, bau dan rasa. Menurut mazhab Syafi'i, najis hukmi tidak boleh berpindah kenajisannya melainkan dalam keadaan basah atau lembab.   

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1) Betul, najis hukmi yang berada dilantai sekiranya dilap dengan menggunakan mop atau kain yang basah akan menjadikan mop atau kain tersebut mutannajis kerana telah bersentuhan dengan najis hukmi tersebut. Maka, boleh berlaku perpindahan najis sekiranya mop atau kain tersebut digunakan untuk mengelap kawasan yang lain. 

2) Kaki yang basah terpijak lantai yang DIYAKINI terdapat najis hukmi (seperti air kencing yang telah kering) mengakibatkan tapak kaki tersebut menjadi mutanajjis atau terkena najis. Apabila tapak kaki tersebut memijak tempat lain, maka lantai tempat di mana tapak kaki itu memijak akan turut menjadi bernajis. Hanya tempat kesan pijakkan tapak kaki basah yang mutanajjis sahaja yang menjadi bernajis dan tidak di tempat lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 175

message user image