BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti,

Saya ingin bertanya, tempoh hari saya tak boleh rukuk ketika solat kerana kesakitan di belakang badan. Saya boleh menunaikan rukun lain dengan sempurna seperti sujud, duduk antara dua sujud tapi saya tak boleh rukuk (saya boleh bongkok sikit sahaja). Saya solat seperti biasa dan rukuk sambil duduk atas kerusi. kemudian saya sedar yang saya boleh rukuk dengan cara duduk antara dua sujud. Mana satu cara rukuk yang patut saya lakukan ?

1. Rukuk ketika duduk di kerusi

2. Rukuk ketika duduk antara dua sujud

3. Rukuk seperti biasa (bongkokkan badan setakat yang saya mampu)

Jika cara saya salah selama ini, adakah solat saya tidak sah dan adakah saya perlu qadha solat tersebut ?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Solat merupakan salah satu rukun Islam yang penting, dianggap sebagai tiang Agama. Justeru, haram ditinggalkan dalam apa juga keadaan sekalipun, selagi mana akal masih waras. Oleh itu setiap orang muslim wajib melakukan solat secara sempurna dengan menepati hukum syarak dari segi rukun dan syaratnya. Namun masih ada kelonggaran-kelonggaran yang tertentu dari segi pelaksanaannya jika menghadapi keuzuran.

Merujuk kepada persoalan tuan, oleh kerana tuan hanya tidak mampu untuk rukuk dengan sempurna kerana mengalami kesakitan di bahagian belakang badan, maka diberi keringanan bagi tuan untuk melaksanakan rukuk setakat yang mampu sahaja (Cara no. 3). Adapun rukun solat yang lain, tuan wajib melaksanakannya seperti biasa. Kaedah umum yang boleh menjadi pegangan tuan adalah memenuhi setiap rukun solat selagi termampu dan kelonggaran hanya diberikan pada rukun yang tidak mampu dilaksanakan sahaja atas sebab keuzuran yang dihadapi. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA katanya, aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring. (Riwayat al-Bukhari).

Adapun solat yang telah lakukan sebelum ini, walaupun berlainan dengan cara no. 3, adalah dianggap sah dan tidak perlu diulang.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 101

message user image