BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Terima kasih saya ucapkan atas jawapan bagi soalan sebelum ini. Saya mempunyai satu lagi soalan yang sudah pernah saya ajukan namun belum mendapat balasan.

Jadi, sebelum ini saya pernah bermain satu permainan video iaitu Genshin Impact. Permainan ini sangatlah terkenal di seluruh dunia dan Malaysia. Namun, yang menjadi masalahnya permainan ini mempunyai alur cerita yang berkaitan dengan dewa-dewa di dunia permainan tersebut. Sejak dari awal lagi, pemain diarahkan untuk menyentuh patung dewa untuk mendapatkan kuasa. Selain itu juga, nyawa karakter pemain juga boleh ditambah menggunakan patung tersebut dan apabila pemain menawarkan barang yang diperlukan oleh patung tersebut, maka mereka akan mendapat ganjaran. Pada tahun lalu juga, permainan ini telah menambah kawasan baharu yang dikenali sebagai "Sumeru" yang bertemakan negara timur tengah. Terdapat dialog bagi karakter sampingan yang mengatakan juga "harut dan marut merupakan iblis yang nakal" namun konteks ayatnya tersebut merujuk kepada dua ekor kucing peliharaannya yang bernama harut dan marut. Secara keseluruhannya, sememangnya permainan ini banyak terinspirasi dari agama dan budaya dari kehidupan nyata namun diubah dan disesuaikan mengikut alur cerita permainan tersebut.

Jadi soalan saya, apakah hukum sekiranya seseorang memainkan permainan video ini namun niatnya untuk bermain permainan video ini hanyalah untuk sistem kombatnya yang menarik dan sekadar hiburan sampingan (tidaklah sampai meninggalkan solat). Dan adakah bermain permainan video seperti ini boleh dianggap sebagai syirik kecil? Masih ramai sahabat saya yang memainkan permainan ini dan apabila ditegur mereka hanya menyatakan yang mereka main permainan ini hanyalah untuk sistem kombatnya dan tidaklah hingga mereka meninggalkan solat. Mohon penjelasan. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Permainan game pada asalnya adalah harus selagimana tidak terlibat dalam perkara yang haram seperti meninggalkan kewajipan-kewajipan sebagai hamba Allah SWT, atau terlibat dalam unsur-unsur judi dalam permainan ini.. Namun adakalanya permainan game tertentu memiliki unsur keagamaan selain Islam sama ada ia disengajakan oleh pihak pengeluar atau tidak. Sekiranya melakukan ritual keagamaan melalui permainan game tanpa sebarang kepercayaan salah dalam hati, maka ia tidak dikira sebagai syirik khafi (tersembunyi) atau jali (jelas atau nyata). 

Adalah dinasihatkan untuk kita tidak melibatkan diri dalam permainan seperti ini kerana ia dikhuatiri membawa kepada normalisasi ritual agama lain dalam kehidupan dan akan memberi kesan negatif kepada hati seorang Islam. Perbuatan ini juga termasuk dalam perkara membuang masa dengan meninggalkan perkara yang lebih baik dilakukan seperti berzikir, membaca al-Quran, mentelaah ilmu dan sebagainya.

Berikut disertakan link soalan dan jawapan berkaitan permainan ini di dalam data bank soalan sistem taudhih Al-Ahkam Jabatan Mufti Negeri Selangor

https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=3735

dan 

https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=3504 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 268

message user image