BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

assalamualaikum,

saya nak bertanyakan soalan bekenaan taklik.

saya pernah menonton video lucah sebelum bernikah dan isteri ketahui tentang perkara itu.

dan selepas nikah.

isteri minta buat taklik berkali kali sampai bergaduh.dia tulis di telefon untuk saya baca.taklik nya seperti ini.

jika saya menonton video lucah dengan nafsu maka jatuh talak satu.

saya lafaz kan taklik sebab nak redakan keadaan dan memang tak nak talak atau cerai pon masa tu.

dan saya dah langgar taklik pertama,

kemudian saya lafaz rujuk sendiri dengan isteri.

dan selepas lafaz rujuk,

isteri mintak berkali kali supaya buat lagi taklik yang sama.

saya pon buat la taklik yang sama kali yang kedua.taklik kedua seperti ini.

jika saya menonton video lucah dengan bernafsu maka jatuh talak dua.

soalan saya adakah sah taklik yang dibuat.sebab saya memang taknak lafaz taklik pon.tapi nak redakan isteri dan saya memang dalam hati tak nak langsung talak atau cerai berlaku.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara ringkas, talak secara taklik bermaksud mengaitkan jatuh talak dengan berlakunya sesuatu perkara, sama ada perkara itu dikaitkan dengan perbuatan isteri, suami atau sebagainya. Apabila perkara tersebut berlaku, maka jatuhlah talak. Seperti ucapan suami: "Jika saya curang, maka jatuh talak satu". Kesannya adalah bila suami melakukan kecurangan kepada isterinya, maka ia boleh menyebabkan jatuhnya talak. 

Berdasarkan kepada kenyataan yang diberikan, lafaz taklik yang diucapkan boleh membawa kepada berlakunya talak. Terdapat hadis yang mengatakan bahawa lafaz talak yang ucapkan dalam keadaan bergurau adalah dianggap sebagai sah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud)

Walau bagaimanapun, memandangkan kuasa mengesahkan lafaz penceraian serta taklik adalah dalam bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk segera kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran. Di samping itu, adalah menjadi kewajipan kepada pasangan suami isteri menurut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor untuk melaporkan sebarang kejadian penceraian atau rujuk ke Mahkamah Syariah untuk didaftarkan, seandainya perkara tersebut belum dilakukan. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 220

message user image