BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya menghadapi satu kemusykilan, pakaian bernajis saya dibasuh dengan mesin basuh automatik. Pakaian & sabun serbuk dimasukkan dulu sebelum air. Selepas pakaian saya kering saya perasan ada sisa putih sabun serbuk tersebut. Adakah sabun itu bertukar menjadi najis? Saya ada baca pendapat daripada Syeikh Al-Thabalawi bahawa sisa bau sabun dimaafkan, tetapi adakah sisa keputihan sabun serbuk pada pakaian juga dimaafkan?Jika tidak suci, bagaimanakah dengan solat saya selama ini kerana hal ini dah banyak kali berlaku ? Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan; pakaian bernajis apabila ia dibasuh dengan air sabun di dalam mesin basuh iaitu dihukumkan air tersebut bukan kategori air mutlak yang mana ia tidak sah sebagai bahan menyucikan pakaian bernajis. Namun dengan teknologi canggih pada zaman kini yang mana pakaian yang dibasuh dengan sabun akan dibilas beberapa kali dengan air mutlak dalam mesin basuh, maka proses ini tidak syak lagi dapat menyucikan pakaian yang bernajis. 

Namun jika terdapat kesan sabun selepas pakaian dibasuh para ulama mazhab syafi'i berselisih pendapat tentang perkara ini.

1- Menurut Imam Ramli, pakaian yang terdapat kesan sabun itu masih belum suci (najis) sehingga bau serta sabun tersebut hilang dan apabila pakaian itu diperah benar-benar jernih air yang keluar. Jika sukar untuk menghilangkan kesan sabun tersebut maka dimaafkan.

2- Manakala, menurut Imam al- Thabalawi hukum sisa sabun sama seperti hukum bau yang terdapat pada pakaian yang telah dibasuh iaitu suci dengan syarat sabun tersebut tidak terdapat najis dan sifat najisnya sudah hilang (bau, warna dan rasa).

Dalam hal ini, kita diperbolehkan untuk mengikuti salah satu dari kedua pendapat tersebut, dengan tetap saling menghormati dan menghargai pihak lain. Namun keluar daripada khilaf adalah dituntut (الخلاف مستحب الخروج من) iaitu jika mendapati bekas sabun pada baju hendaklah dibilas dengan air pada baju tersebut sahaja sehingga hilang kesan sekadar yang temampu dan basuhan itu adalah suci.

Sekian, terima kasih. 

والله أعلم بالصو اب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 337

message user image