BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti,

Saya telah menjual minyak wangi kepada seseorang. Saya dapat tahu yang dia berkerja di kelab malam ketika berurusan. Dia juga bercerita tentang minyak wangi yang dia gunakan ketika bekerja. Adakah hasil penjualan tersebut haram ? 

Harap tuan mufti dapat jelaskan, terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, dosa orang lain tidak ditanggung oleh pihak lain melainkan diri pembuat dosa itu sendiri yang memikulnya. Perkara ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Fathir ayat 18 yang mengingatkan Nabi Muhammad SAW agar memberi peringatan ini kepada kaumnya supaya mereka sentiasa mengawasi diri.

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةࣱ وِزۡرَ أُخۡرَىٰۚ وَإِن تَدۡعُ مُثۡقَلَةٌ إِلَىٰ حِمۡلِهَا لَا یُحۡمَلۡ مِنۡهُ شَیۡءࣱ وَلَوۡ كَانَ ذَا قُرۡبَىٰۤۗ إِنَّمَا تُنذِرُ ٱلَّذِینَ یَخۡشَوۡنَ رَبَّهُم بِٱلۡغَیۡبِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَۚ وَمَن تَزَكَّىٰ فَإِنَّمَا یَتَزَكَّىٰ لِنَفۡسِهِۦۚ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِیرُ

Maksudnya: Dan (ketahuilah), seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Dan jika seseorang yang berat tanggungan (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu daripada kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah pemberi peringatan kepada orang-orang yang takut akan Tuhan mereka dengan kepercayaan kepada perkara ghaib serta mereka mendirikan solat. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya dia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan kepada Allah jualah tempat kembali.

Merujuk kepada tafsiran ayat tersebut, Imam Ibnu Kathir ada menyatakan bahawa setiap orang akan dibalas sesuai dengan amalan yang dilakukannya. Jika amalan tersebut baik, maka kebaikan yang akan dibalas. Sebaliknya jika yang dilakukan itu perbuatan terkutuk, maka hukuman terkutuk juga yang akan dibalas. 

Selain itu, berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Rimthah RA bahawa beliau menyebut:

انْطَلَقْتُ مَعَ أَبِي نَحْوَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ لِأَبِي: ابْنُكَ هَذَا؟ قَالَ: إِي وَرَبِّ الْكَعْبَةِ، قَالَ: حَقًّا؟ قَالَ: أَشْهَدُ بِهِ، قَالَ: فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَاحِكًا مِنْ ثَبْتِ شَبَهِي فِي أَبِي، وَمِنْ حَلِفِ أَبِي عَلَيَّ، ثُمَّ قَالَ: أَمَا إِنَّهُ لَا يَجْنِي عَلَيْكَ، وَلَا تَجْنِي عَلَيْهِ ، وَقَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya: Aku berangkat bersama bapaku mengadap Nabi SAW. Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada bapaku: adakah ini anakmu? Jawabnya: Ya, demi Tuhan Ka’bah. Baginda tanya lagi: Benarkah? Lalu dia menjawab: Aku bersaksi atasnya. Maka Rasulullah SAW tersenyum kerana kemiripanku dengan bapaku dan juga kerana sumpahnya dengan nama Allah atas diriku. Kemudian Baginda SAW bersabda: Adapun dia, sungguh dosanya tidak engkau tanggung hukumannya dan dosamu tidak membuatnya menanggung hukumannya. Lalu Baginda membaca ayat (yang terjemahannya): Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain(Riwayat Abu Daud).

Oleh itu, saudara tidak berdosa terhadap apa yang pelanggan saudara lakukan dan hasil jualan minyak wangi itu adalah halal.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 107

message user image