BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan mufti,

Saya ingin bertanya, saya selalu lupa sama ada telah duduk antara dua sujuk atau belum ketika solat. Perkara ini sudah berlaku agak lama dan hampir berlaku dalam semua solat saya. Adakah ini disebabkan oleh perasaan was was sebab saya rasa ragu ragu sama ada sudah duduk antara dua sujud atau pun disebabkan saya mudah lupa. Kadang kadang saya ada juga tidak melayan perasaan ragu ragu tersebut. Bagaimana hendak membezakan sama ada was was dan lupa. Boleh tuan jelaskan lebih lanjut ? Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, lupa bermaksud tidak mengingati perkara atau perbuatan yang lalu. Lupa juga sering dikaitkan dengan was-was. Ini kerana was-was menyebabkan seseorang tidak dapat mengingati dengan yakin atau secara pasti perkara mahupun perbuatan yang dia telah lakukan sebelum ini.

Was-was berasal daripada perkataan bahasa Arab (al-Waswasa) yang bermaksud bisikan atau hasutan syaitan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nas ayat 4 hingga 6: 

مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ﴿٦﴾‏

Maksudnya: Daripada kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Iaitu (pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.

Dalam al-Quran, perkataan was-was seringkali digandingkan dengan syaitan yang memberi isyarat bahawa was-was merupakan bisikan daripada syaitan. Bisikan dan hasutan oleh syaitan dilakukan sedaya mungkin untuk mengganggu seseorang khsusunya apabila sedang melakukan ibadah sehingga boleh membawa keraguan dan kelupaan kepada bilangan ibadah, bacaan, tindakan dan sebagainya. Oleh itu, apabila perasaan ini terjadi, hendaklah minta perlindungan dengan membaca ta’awuz seperti firman Allah SWT dalam surah al-Fussilat ayat

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٣٦)

Maksudnya: Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan daripada syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Berdasarkan huraian ini, was-was merupakan suatu perkara yang mesti dielakkan supaya tidak mengganggu dan menjejaskan ibadah seseorang. Hal ini kerana was-was menyebabkan seseorang rasa garu-ragu atau menghilangkan keyakinan terhadap perbuatan yang telah dia lakukan. Sebagai individu muslim, hendaklah kita berusaha untuk menjauhi daripada hasutan syaitan dengan sentiasa meminta perlindungan kepada Allah.

Antara perkara lain yang boleh dilakukan untuk menghilangkan rasa was-was ialah dengan memulakan proses bersuci dan berwuduk dengan baik. Berusaha untuk solat dengan khusyuk melalui penghayatan setiap bacaan dalam solat, yakin bahawa setiap syarat dan rukun telah dilakukan serta mengelak diri daripada memikirkan perkara lain semasa sedang solat. Di samping menjadikan solat secara berjemaah sebagai usaha untuk menghilangkan was-was dengan mengikut imam secara tekun dan mengabaikan lintasan hati yang ada dalam fikiran.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 30

message user image