Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai hukum memasarkan produk (product consignment) di bawah kedai yang pemiliknya bukan Islam yang menjual makanan/produk yang tidak halal ?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya menjalankan perniagaan dengan cara Product Consignment iaitu meletakkan barangan terlebih dahulu sebelum mengambil bayaran barangan yang terjual mengikut kaedah yang dipersetujui antara dua belah pihak adalah harus selagimana barangan yang dijual itu bukanlah barangan yang diharamkan dari sudut syariah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 :
Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
Oleh itu, perniagaan dengan cara Product Consignment dengan kedai yang menjual produk yang tidak halal pihak pemilik produk perlu memastikan tiada percampuran antara produk yang halal dengan produk yang tidak halal. Ini bagi memastikan barangan yang tidak habis dan dipulangkan tidak tercemar dengan sesuatu yang tidak halal. Dari sudut berurusniaga dengan bukan Islam pula tidak menjadi masalah dari sudut hukum syarak kerana Islam mengharuskan urusniaga antara orang Islam dan bukan Islam selagimana urusniaga yang dijalankan antara dua pihak adalah sesuatu yang tidak bercanggah dengan syarak.
Sekian, terima kasih.