BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

aslm ustadz,saya ingin bertanya tentang kencing tak lawas,saya ada penyakit kencing tak lawas dan was was.

soalan pertama: sah ke solat jika air kencing keluar sebelum ingin melaksana kan solat fardhu.

soalan kedua: sah ke solat jika saya mengulangi solat fardhu dua kali,contoh habis solat zohor lepas tu solat zohor balik sbb was was,sedangkan air kencing keluar sebelum solat.

soalan ketiga:boleh ke solat qadha dengan wudhu yang sama

terima kasih ustadz,aslm


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته '

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan, ingin dijelaskan terlebih dahulu keadaan bagi seseorang yang salisil baul iaitu kencing tidak lawas menurut pandangan para fuqaha' adalah mengambil hukum istihadhah (keluar darah) bagi perempuan. Mereka ini dikategorikan sebagai golongan yang ‘uzur’ dalam erti kata yang lainnya terdapat hukum yang khusus buat golongan ini dalam bab taharah. Maka bagi keadaan sebegini, pesakit perlu merujuk kaedah berikut dalam pelaksanaan ibadah solat:

a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis.

b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas dengan mengambil wuduk. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.

c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walaupun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk atau solat.

d) Satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain. 

e) Ketika mengambil wuduk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wuduk. Contohnya: ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wuduk untuk solat kerana Allah Ta'ala”. Tidak harus semasa mengambil wuduk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama air kencing sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wuduk.

Sehubungan itu, berikut adalah jawapan bagi persoalan yang diajukan: 

Pertama: Sah solat sekiranya telah disucikan diri daripada najis dan dialas lampin atau seumpamanya dan mengambil wuduk setelah masuk waktu solat lantas bersegera menunaikan solat walaupun dirasa terdapat air kencing yang keluar ketika hendak menunaikan solat.

Kedua: Sekiranya perkara pertama yang dijelaskan di atas telah dilaksanakan, maka ibadah solat fardu tersebut dikira sah dan tidak perlu untuk mengulanginya kali kedua. 

Ketiga: Untuk melaksanakan solat qadha, perlu diulangi tindakan yang sama sebagaimana yang dijelaskan pada perkara pertama kerana satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja termasuklah dalam keadaan hendak qadha solat fardu. 

 والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 104

message user image