Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Apakah hukum membunuh kucing disebabkan oleh penyakit yang sukar untuk disembuhkan? Penyakit sporo. Tak sanggup untuk melihat kucing tersebut menahan kesakitan.
Jawapan
.وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
.الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد
Hukum membunuh kucing adalah berdosa kerana Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: Seorang wanita diseksa oleh Allah pada hari kiamat lantaran dia mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Kerana itu Allah SWT memasukkannya ke neraka. Kucing itu dikurungnya tanpa diberi makan dan minum dan tidak pula dilepaskannya supaya ia dapat menangkap makanannya yang terdapat di bumi. (Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا، إِلَّا سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا ، قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا حَقُّهَا؟ قَالَ: يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا، وَلَا يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا
Maksudnya: Tidaklah seseorang manusia membunuh seekor burung atau yang lebih daripada itu tanpa hak, kecuali Allah akan menyoalnya berkenaan burung itu”. Lalu baginda disoal, “Apakah haknya wahai Rasulullah?”. Sabda baginda, “Hendaklah dia menyembelihnya lalu memakannya, dan jangan memotong kepalanya lalu dibuangnya”. (Riwayat Ahmad)
Merujuk kepada persoalan puan, nyawa setiap binatang itu perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya sekalipun kucing tersebut berpenyakit dan sukar untuk disembuhkan. Pemilik kucing hendaklah berusaha merawatnya sebagai satu sikap ihsan terhadap binatang yang pastinya akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Oleh yang demikian, dicadangkan kepada puan untuk menyerahkan kucing tersebut ke pusat rawatan haiwan untuk tindakan yang lebih baik. Tindakan membunuh kucing juga dikhuatiri boleh dikenakan tindakan undang-undang menurut Akta Kebajikan Haiwan 2015 di mana individu yang melakukan penganiayaan terhadap haiwan-haiwan akan diambil tindakan.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 302