BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada satu soalan.

Pakaian dalam saya terkena air kencing, namun saya tidak bersihkan walaupun saya berada di rumah. Saya nampak dengan jelas bahagian mana yang terkena air kencing terbabit. Namun saya ambil tidak peduli. Saya cuma tukar tuala wanita kerana saya datang bulan. Kemudian, dengan pakaian dalam yang terkena air kencing terbabit, saya tidur serta duduk di beberapa tempat di rumah saya, jadi saya risau berlaku perbindahan najis walaupun saya tidak nampak. Soalan saya, saya kini sudah boleh solat, namun saya risau terkena kesan air kencing yang sebelum ini. Ini adalah kerana saya tidak nampak sekiranya ada perpindahan najis, oleh mata kasar. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Islam sangat mengambil berat perkara kesucian dan kebersihan diri. Kesucian merupakan salah satu daripada ciri-ciri keimanan sebagaimana hadis daripada Abu Malik al-Asy’ari RA bahawa Nabi SAW bersabda:

              الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ

Bermaksud: Bersuci itu adalah sebahagian daripada (ciri-ciri) keimanan.

Hukum mensucikan diri daripada najis adalah wajib berdasarkan firman Allah SWT di dalam surah al-Mudassir ayat 4:

         وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya: Dan pakaianmu (wahai Muhammad) maka hendaklah engkau sucikan.

Tambahan pula, ibadah utama di dalam Islam iaitu solat tergantung sah amalan tersebut kepada suci daripada najis pada diri, pakaian dan tempat solat. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk sentiasa perihatin dan menjaga kesucian diri daripada najis.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, hanya tempat atau kawasan yang diyakini terkena najis sahaja yang wajib dibasuh atau disucikan. Manakala tempat yang tidak dapat dipastikan terkena najis atau ragu-ragu, maka ia tidak wajib dibasuh. Oleh itu, wajib bagi puan untuk mensucikan pakaian dalam yang diyakini terkena air kencing tersebut pada ketika puan menyedari perkara tersebut berlaku. Adapun begitu, perbuatan puan duduk di beberapa tempat dengan pakaian dalam yang tidak dibersihkan tersebut tanpa diketahui sama ada pakaian tersebut masih basah atau telah kering, dan tidak dipastikan sama ada ia meninggalkan kesan bau atau warna pada tempat yang puan duduk atau tidak, maka berpegang kepada kaedah asal iaitu sesuatu tempat itu suci hingga diyakini terdapat najis. Ini bermakna tempat itu kekal suci dan tidak perlu dibasuh. Ia berdasarkan kepada kaedah fiqh:

          الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya: Asal bagi sesuatu adalah suci sehingga ternyata (diyakini) kenajisannya.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 69

message user image