Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum. Isteri saya telah bernazar ketika Peperiksaan SRP dulu untuk berpuasa selama 9 hari jika berjaya pada tahun tersebut. Walaubagaimanapun beliau hanya mampu mencukup kan puasa 9 hari pada tahun berikutnya kerana tak mampu dan kekurangan ilmu. Apakah ianya dikira melanggari nazar dan apakah yang sepatutnya isteri saya lakukan. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, nazar yang dikaitkan dengan masa tertentu, mestilah terikat dengan masa tersebut. Adalah disunatkan supaya segera menunaikan nazar sebaik-baik sahaja terdapat peluang melakukannya agar terlepas daripada tanggungjawabnya. Jika terlewat ditunaikan disebabkan keuzuran seperti sakit, tidak berupaya maka tidak berdosa. Namun, wajib mengqadha’nya apabila terdapat peluang yang mengizinkannya. Ini berdasarkan dengan firman Allah SWT: وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا Maksudnya : “Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu akan ditanya.” (al-Isra’: 34) Walaupun isteri telah menunaikan nazarnya melebihi tempoh masa yang ditetapkan disebabkan tidak mampu, nazarnya telah tertunai dan tidak dikira melanggar nazar. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.