Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: As-salamu `alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh. Apakah keutamaan mengadakan tahlil arwah pada hari-hari tertentu seperti pada 3 malam pertama, hari ke-7, 40 dan 100? Mohon kemukakan hujah para ulama (beserta sumbernya) dalam jawapan yang diberikan. Sekian, terima kasih. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, istilah tujuh hari (7) dalam mengadakan tahlil bagi orang yang sudah meninggal dunia, adalah merupakan amalan yang diamalkan oleh para Tabi’in. Imam Ahmad bin Hanbal RA berkata dalam kitabnya Al-Zuhd, sebagaimana yang dirakamkan oleh Imam As Suyuti dalam kitab Al-Hawi lil-Fatawi: قَالَ طَاوُسِ: اِنَّ اْلمَوْتَى يُفْتَنُوْنَ فِىْ قُبُوْرِهِمْ سَبعًا فَكَانُوْا يُسْتَحَبُّوْنَ أَنْ يُطْعِمُوْا عَنْهُمْ تِلْكَ اْلاَيَّامِ Imam Thowus berkata : seorang yang mati akan beroleh fitnah (ujian) dari Allah dalam kuburnya selama tujuh hari. Untuk itu, sebaiknya mereka (yang masih hidup) mengadakan jamuan makan (untuk disedekahkan pahala amalan tersebut) untuk simati, selama hari-hari tersebut. عَنْ عُبَيْدِ بْنِ عُمَيْرِ قَالَ: يُفْتَنُ رَجُلَانِ مُؤْمِنٍ وَمُنَافِقٍ فَأَمَّا اْلمُؤْمِنُ فَيُفْتَنُ سَبْعًا وَاَمَّا الْمُنَافِقُ يُفْتَنُ اَرْبَعِيْنَ صَبَاحًا Ubaid Ibn Umair , dia berkata: Seorang mu’min dan seorang munafiq sama-sama akan mengalami fitnah (ujian) dalam kubur. Bagi seorang mu’min akan diuji selama 7 hari, sedangkan seorang munafik selama 40 hari diwaktu pagi. Pendapat sebahagian besar Ulama’, yang dimaksudkan dengan fitnah kubur adalah Soalan Malaikat Munkar dan Nakir . Imam As-Suyuti berkata: أَنَّ سُنَّةَ اْلإِطْعَامِ سَبْعَةَ أَيَّامٍ بَلَغَنِي أَنَّهَا مُسْتَمِرَّةٌ إِلَى اءلآنَ بِمَكَّةَ وَاْلمَدِيْنَةَ, فَالظَّاهِرُ أَنَّهَا لمَ تَتْرُكْ مِنْ عَهْدِ الصَّحَابَةِ إِلَى اْلآنَ وَأَنَّهُمْ أَخَذُوْهَا خَلَفًا عَنْ سَلَفٍ إِلَى الصَّدْرِ اْلأَوَّلِ Kebiasaan memberikan sedekah makanan selama tujuh hari merupakan kebiasaan yang tetap berlaku hingga sekarang (zaman Imam As Suyuti ) di Makkah dan Madinah. Yang jelas, kebiasaan itu tidak pernah ditinggalkan sejak masa sahabat Nabi S.A.W sampai sekarang ini, dan tradisi itu diambil dari ulama salaf sejak generasi pertama (zaman sahabat Nabi S.A.W) Petikan di atas menunjukkan para tabi’in membincangkan di dalam 7 hari pertama simati yang mukmin akan diuji (disoal) dan 40 hari pertama di waktu subuh orang munafik akan disoal. Maka digalakkan kita memperbanyakkan doa dan menyedekahkan pahala kepada simati khususnya pahala memberi makan kepada orang lain. Tiada hadis Nabi S.A.W yang sampai kepada kita berkenaan amalan ini. Adapun amalan sebahagian masyarakat kita mungkin berdasarkan kepada Qaul Tabi’in yang dibincangkan di atas dan tiada salahnya beramal dengan pendapat tersebut. Pada asalnya mengadakan tahlil bersifat luas dan terbuka kepada waris untuk mengadakannya pada bila-bila masa yang sesuai lebih-lebih lagi di tujuh hari yang pertama jika berkemampuan. Suka diingatkan, kos kenduri tahlil tersebut janganlah diambil dari harta pusaka simati dan jangan pula diambil dari harta anak yatim. Eloklah ianya dari sumber lain seperti diambil dari harta ahli waris terdekat secara sukarela. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.