Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Tolong jelaskan mengenai konsep ar-Rahnu, dalam sistem muamalat Islam.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, Konsep Ar-Rahnu adalah dengan menjadikan sesuatu barangan sebagai cagaran atau jaminan bagi sesuatu hutang dan menjadi bayaran sekiranya tidak terdaya membayar hutang. Sebagai contoh sekiranya usahawan gagal membayar balik pinjaman setelah tempoh masanya luput maka barang berharga yang digadainya akan dilelong dan pihak yang memegang gadaian hanya akan mengambil kadar hutangnya bersama kos yang berkaitan sahaja sementara wang baki lelongan akan diserahkan kepada penggadai. Ini sebagai suatu jaminan kepada pihak yang menerima gadaian bahawa hak mereka terhadap hutang yang diberi kepada penggadai tidak akan hilang meskipun penggadai tidak dapat membayar hutang. Dalam sebuah Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud “Bahawasanya Nabi saw menggadaikan (Rahn) diran (baju besi) kepada seorang Yahudi yang bernama Abusy Syahmi atas pinjamannya sebanyah 30 sha gandum untuk keluarganya.” والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.