Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Saya ingin bertanya tentang barang kemas peninggalan ibu saudara saya yg telah meninggal. Ibu saudara saya ini tidak berkahwin, ayah dan ibunya telah meninggal sebelum kematiannya. Jadi dia sebatang kara. Dan ayah saya adalah waris tunggalnya. Sebelum kematiannya, arwah ibu saudara saya telah berwasiat supaya barang kemas miliknya diberi kepada anak anak perempuannya. (mungkin maksudnya anak anak saudara perempuannya). Kerana waktu hayatnya, dia yang mengasuh anak anak saudaranya. Walaubagainapun, Ada dikalangan adik beradik kami, mengalami masalah kewangan, dan terpaksa menggadai barangan tersebut dan akan menebus kembali setelah ada wang tanpa pengetahuan anak anak saudara simati. Dan yang paling menyedihkan, barang kemas tersebut telahpun lesap kerana tidak dituntut pada tarikh yang sepatutnya. Jadi apa yang harus dilakukan untuk mengganti kembali kepada anak anak saudara perempuan di mati. Bolehkah digantikan dengan nilai wang. Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, wajib menggantikan barangan kemas itu dengan nilai mata wang semasa dan dibahagikan sama rata kepada penerima harta sebagaimana wasiat iaitu anak-anak saudara perempuan si mati. Ia perlu dilihat dari dua keadaan iaitu wasiat dan hukum faraidnya. Jika wasiat, ia perlu dipastikan kesahihannya dan kandungan wasiat tersebut, kerana hukum wasiat tertakluk dengan syarat-syaratnya. Begitu juga dari segi hukum faraidnya. Berhubung dengan barang yang telah “hilang” dalam gadaian, ia wajib diganti dengan nilainya. Bagaimanapun, jika pihak-pihak yang berhak dalam keluarga menghalalkan dan bersedia melepaskan, maka tertunailah tanggungjawabnya. Jika tidak maka kembali kepada zimmahnya untuk diserahkan kepada yang berhak. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.