BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu'alaikum,

Soalan 1: Mohon pandangan rajih atau asah dalam mazhab Syafi'i berhubung Solat Sunat Subuh (qada) yang ditunaikan selepas sebaik saja selesai Solat Fardhu Subuh bagi yang tertinggal / tidak sempat menunaikannya. 

Ini disebabkan waktu tersebut adalah waktu ditegah solat sunat, dalam pengetahuan saya solat sunat berwaktu sememangnya dibenarkan qada bagi orang yang melazimi solat tersebut, contohnya solat Dhuha.

 

Soalan 2: Mohon diterangkan juga bagaimana dikira sebagai orang melazimi bagi solat sunat dan puasa sunat yang dibolehkan qada. 

 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه الأجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, isu qadha solat sunat telah dibahaskan oleh para ulama’. Menurut Imam al-Nawawi, solat sunat itu terbahagi kepada dua:

  1. Yang tidak terikat dengan waktu, dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid. Solat sunat jenis ini tidak boleh diqadha jika tertinggal.

  2. Terikat dengan waktu, contohnya solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib, dan terdapat tiga pandangan bagi solat sunat jenis kedua ini. Pandangan yang paling tepat ialah sunat untuk qadha jika tertinggal.

Bagi majoriti para fuqaha’ mereka mengharuskan untuk diqadhakan solat sunat sebelum Subuh jika ia tidak ditinggalkan secara sengaja. Keharusan ini juga adalah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Qais bin Amru RA berkata:

رَأَى النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلَاةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَصَلَاةَ الصُّبْحِ مَرَّتَيْنِ؟» فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهَا، فَصَلَّيْتُهُمَا. قَالَ: فَسَكَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: Nabi SAW melihat seorang lelaki yang solat dua rakaat selepas solat Subuh. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau solat Subuh sebanyak dua kali?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak sempat solat sunat sebelum solat Subuh, maka aku menggantikannya.” Maka Nabi SAW pun diam. (Riwayat Ibnu Majah)

Walau bagaimanapun, adalah lebih afdhal untuk mengqadhanya selepas terbit matahari sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA berkata:

نَامَ عَنْ رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ فَقَضَاهُمَا بَعْدَ مَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya: Telah tertidur (Rasulallah SAW) daripada menunaikan dua rakaat (sebelum) Subuh maka Baginda menqadhanya setelah mana terbitnya matahari. (Riwayat Ibn Majah)

Kesimpulannya bagi sesiapa yang tidak sempat untuk solat sunat sebelum Subuh disebabkan oleh keuzuran-keuzuran tertentu seperti mengutamakan solat Subuh berjemaah bersama imam, maka diharuskan untuk menqadhanya setelah daripada dia menunaikan solat fardhu Subuh. Namun menunaikannya setelah daripada terbitnya matahari adalah lebih baik berdasarkan kepada perbuatan Rasulallah SAW. 

 والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 72

message user image