BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, gigi saya sering berdarah dan darahnya kadang-kadang keluar banyak dan sedikit.

1. Persoalannya adakah boleh saya menyucikan kesan darah dalam mulut saya yang sedkit itu hanya dengan menelan air kumuran itu sehingga hilang kesan darah tersebut.

Sebab jika saya berkumur air di dalam mulut akan terpercik keluar dan terkena pada pakaian solat saya.

2. Sekiranya saya tertelan darah dalam mulut saya, perlukah saya berkumur hanya dalam mulut atau perlu berkumur sehingga ke tekak?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

1. Menelan darah adalah satu perbuatan yang ditegah kerana ia merupakan najis kotoran yang haram ditelan mahupun dimakan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat ke-145:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: Aku tidak mendapati dalam perkara yang diwahyukan kepadaku sesuatu yang diharamkan bagi orang hendak memakannya melainkan benda itu berupa bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor (najis).

Saudara perlu berusaha untuk mengeluarkan darah tersebut dengan cara meludahkannya atau berkumur-kumur lalu mengeluarkannya. Seandainya setelah berusaha untuk mengeluarkannya, namun masih tertelan darah tersebut, maka ia dimaafkan. Berhati-hatilah ketika berkumur-kumur agar tidak terpercik pada pakaian solat. Percikan yang sedikit dan sukar untuk dielakkan adalah dimaafkan sekiranya terkena pada pakaian.

2. Adapun bagi perbuatan tertelan darah pula, maka hanya memadai berkumur pada kawasan yang diambil kira sebagai had zahir sahaja.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 77

message user image