BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ada beberapa soalan mengenai puasa dan fidyah yang saya inginian kepastian dari pihak yang lebih arif. Situasinya begini, saya seorang yang lalai dalam menjalani puasa sejak akhil baligh, dan saya ingin bertaubat. Soalan saya;

1.Menerusi pembacaan saya; fidyah adalah denda yang dikenakan terhadap puasa yang ditinggalkan atas sebab uzur syar'ie. Dalam kes saya, ia adalah sebab kelalaian diri sendiri/ sengaja dan bukanlah sebab uzur syar'ie. Jadi saya ingikan kepastian, saya ingin bertaubat dan melunaskan hutang saya, adakah fidyah terpakai pada saya? Jika tidak terpakai, apa yang patut saya lakukan?

2. Jika fidyah terpakai, saya juga ingin bertanya tentang fidyah gandaan dan tidak berganda. Saya ada cuba menggunakan kalkulator di laman web untuk menggira jumlah fidyah, fidyah gandaan besar jumlahnya, belasan ribu, jauh berbeza dengan fidyah tidak berganda. Soalan saya disini, mana satukah yang perlu saya bayar? Menerusi pembacaan saya, tidak ada jawapan muktamad untuk hal ini. Jadi, apakah boleh sekiranya saya memilih untuk membayar fidyah tanpa gandaan? Adakah saya berhak memilih sedemikan? Apakah boleh untuk saya memilih untuk membayar di negeri yang tidak mewajibkan fidyah berganda? 

3. Fasal kemampuan/ tidak mampu membayar fidyah berganda. Saya inginkan pencerahan tentang sejauh mana kita menilai sama ada diri kita mampu untuk membayar fidyah berganda yang belasan ribu ringgit yang saya sebutkan. Saya maklum diri saya bukan lah fakir miskin, namun bukan juga kaya raya. Jika belasan ribu ringgit (+- rm 15000) wajib dibayar, saya terpaksa gunakan sebahagian wang simpanan KWSP yang telah saya keluarkan. Pendek kata, saya tidaklah fakir miskin tapi tidaklah kaya juga. Disebabkan itu saya ingin memilih untuk membayar fidyah tidak berganda, namun saya inginkan pendapat dan nasihat.

4. Fasal qadha puasa. Setelah pengiraan yang saya buat, saya baligh dari tahun 2004, kini sudah pun 20 tahun baru lah saya ingin bertaubat. Saya memerlukan setahun enam bulan lebih kurang untuk mengqadha puasa, itupun belum ditolak hari uzur dan jika saya berpuasa berterusan. Soalan saya; saya semestinya sudah tidak sempat untuk menggantikan puasa sebelum Ramadhan 2025, apakah akan ada fidyah lagi keatas baki ganti yang belum saya laksanakan? Mohon pencerahan tentang bagaima kiraan ini harus dilaksanakan.

5. Akhir sekali, saya mohon pencerahan secara keseluruhan, jika ada apa apa yang saya tertinggal untuk melunaskan hutang saya dan bertaubat. Saya dengan rendah diri memohon pandangan dan nasihat, serta saya minta untuk didoakan kebaikkan. Terima kasih atas sebarang jawapan.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته        

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Alhamdulillah atas hidayah yang Allah SWT berikan kepada saudari untuk bertaubat. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati saudari.

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

1. Fidyah wajib dibayar bagi mereka yang meninggalkan puasa sama ada dengan sebab uzur syar'i atau tiada uzur syar'i, sekiranya bertemu dengan bulan Ramadhan yang baru dan puasa itu tidak diqada. Seandainya meninggalkan puasa dengan sebab uzur syar'i diwajibkan membayar fidyah, maka lebih utama diwajibkan membayar fidyah jika meninggalkan puasa dengan sengaja tanpa ada keuzuran. Hanyasanya diharuskan untuk meninggalkan puasa sekiranya terdapat uzur syar'i dan dianggap tidak berdosa. Manakala meninggalkan puasa tanpa keuzuran adalah berdosa.

2. Saudari boleh membuat pilihan sama ada untuk membayar fidyah secara berganda atau tidak berganda berdasarkan kemampuan saudari. Jawatankuasa Perunding Hukum Syara'  (Fatwa) Negeri Selangor Bil.1/ 2001 memberikan dua pilihan sama ada untuk membayar fidyah secara berganda atau sebaliknya. Sila rujuk https://www.muftiselangor.gov.my/2023/10/25/hukum-gandaan-fidyah-dan-kifarah/

Saudari boleh membuat pembayaran fidyah, dengan memilih untuk membuat bayaran secara berganda atau tidak, kepada Lembaga Zakat Selangor di laman web berikut: https://fpx.zakatselangor.com.my/ 

3. Bayaran fidyah secara berganda bagi yang berkemampuan adalah suatu saranan yang digalakkan dan bukan suatu kewajipan. Berkemampuan bermaksud tidak membebankan atau menyebabkan saudari dalam keadaan menyusahkan sekiranya membayar secara berganda.

4. Dinasihatkan agar saudari mengqada puasa yang ditinggalkan pada tahun 2024 terlebih dahulu, agar tidak dikenakan fidyah. Seandainya saudari telah melunaskan seluruh fidyah bagi puasa yang ditinggalkan sebelum ini secara tidak berganda, maka telah tamat urusan pembayaran fidyah tersebut. Hanya yang saudari perlu lakukan adalah mengqada puasa yang ditinggalkan.

5. Bertaubatlah dengan bersungguh kepada Allah SWT dengan menyesali terhadap kesalahan yang telah saudari lakukan sebelum ini serta berazam untuk tidak mengulanginya. Berusaha sedaya yang mampu untuk mengqada puasa yang ditinggalkan. Seandainya ditakdirkan saudari tidak dapat mengqada kesemua puasa yang ditinggalkan, yakinlah sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 60

message user image