BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya ada soalan mengenai kahak ketika puasa. Saya selalu mengalami masalah kahak terutamanya waktu puasa. Namun, saya mengalami kekeliruan untuk menentukan kahak itu berada di had zahir atau batin. Hal ini kerana saya rasa kahak sentiasa berada di sekitar kawasan kerongkong/ anak tekak. Saya hanya ikut kalau saya dah cuba mengeluarkan kahak tapi dia tidak keluar ataupun selagi kahak tidak keluar anak tekak, saya anggap sahaja kahak berada di had batin. Jadi saya rasa was-was kalau puasa saya sah ataupun tidak apabila saya telan je kahak yang sangkut disekitar kerongkok/anak tekak sekiranya saya rasa kahak tidak keluar apabila saya dah cuba keluarkan sekali dua.

 

Lagi satu soalan, tidak mengapakan telan air liur yang bercampur dengan manisan makanan yang terlekat di lidah walaupun kita dah berkumur and gosok gigi?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Terdapat dua keadaan hukum orang yang menelan kahak bergantung kepada kedudukan kahak itu berada iaitu:

1. Had Zahir

Had yang zahir bagi rongga mulut ialah mengikut kadar makhraj huruf (tempat keluar) huruf (خ) dan (ح). Apabila kahak berada pada had Zahir rongga mulut lalu ia ditelan, maka puasa tersebut adalah batal.

2. Had Batin

Had batin ialah makhraj huruf (ه) dan (ء) iaitu yang selain daripada bahagian zahir pada rongga mulut. Apabila kahak berada pada had batin lalu ia ditelan, maka tidak batal puasa orang yang menelan kahak tersebut.

Namun begitu, terdapat perbezaan pandangan berkenaan makhraj huruf ha (ه). Menurut al-Nawawi, makhraj ini bermula pada had Zahir, maka puasa akan terbatal sekiranya kahak ditelan setelah sampai padanya. Manakala, menurut al-Rafi’i, makhraj ini bermula pada had batin, maka puasa tidak batal sekiranya kahak ditelan setelah sampai padanya.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya kedudukan kahak tersebut berada bahagian dalam seperti di bahagian halkum, tekak atau kerongkong dan ke dalam, maka tidak batal puasa sekiranya ditelan kahak tersebut kerana sukar untuk mengeluarkannya seperti soalan yang diajukan oleh Tuan. Adapun sekiranya kahak tersebut, terkeluar ke bahagian mulut yang merupakan had zahir, maka batal puasa jika Tuan menelannya dengan sengaja.

Seterusnya, hukum menelan air liur tidak membatalkan puasa kerana ia sukar untuk dikawal.  Hal ini berdasarkan syarat seperti berikut:

  1. Air liur tersebut jernih, iaitu tidak bercampur dengan bahan yang lain. Jika air liur yang ditelan bercampur dengan bahan lain seperti pewarna, maka batal puasa.
  2. Air liur tersebut berasal dari badan sendiri, iaitu lidah dan mulut. Sekiranya seseorang menelan air liur yang ada pada bibir luar, maka batal puasanya.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, batal puasa sekiranya telan air liur yang bercampur dengan manisan makanan yang terlekat di lidah walaupun sudah berkumur dan gosok gigi.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 112

message user image