BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : AKIDAH

message user image

  Soalan

Salam. Saya nak tanya tentang hukum mengarang fiksyen. Jika dalam cerita tersebut terdapat satu watak bukan manusia yang dinamakan malaikat atau 'angel', apakah hukumnya? Watak itu bukanlah menggambarkan malaikat yang digambarkan dalam Al-Quran, ia hanya pada nama sahaja. Mohon pencerahan


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Secara umum, mengarang fiksyen adalah harus selagimana isi karangan yang dibuat tidaklah bertentangan dengan syariat seperti mempromosikan maksiat, mengajak kepada kemungkaran dan lain-lain perkara yang termasuk di dalam erti kata bertentangan dengan syariat Islam. 
 

Dalam konteks mengarang fiksyen berkaitan malaikat, para ulamak mendefinisikan malaikat sebagai makhluk yang diciptakan Allah SWT daripada cahaya dan ia wajib diimani kerana beriman dengan malaikat merupakan salah satu daripada rukun Iman bagi orang Islam. Perkara berkaitan malaikat dan kata akar dari bahasa arab yang merujuk kepada malaikat disebut di dalam al-quran dalam jumlah yang banyak dan ia menjadi indikator bahawa malaikat merupakan antara ciptaan Allah yang mulia sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Konsep angel pula berdasarkan semakan yang dibuat, terdapat perbezaan pegangan tentang kewajipan beriman dengan malaikat kerana dalam agama kristian beriman dengan angel (malaikat) adalah tidak sama sebagaimana di dalam agama Islam yang secara jelas mewajibkan keimanan kepada malaikat. Dari sudut lain terdapat juga persamaan yang tidak dapat dielakkan antara kerana kedua-dua agama iaitu Islam dan kristian merupakan agama samawi yang pastinya wujud persamaan dalam banyak perkara.

Sebagai kesimpulan, bagi mengelakkan kekeliruan serta salah tafsir adalah dinasihatkan agar elakkan daripada membawa fiksyen yang menyentuh tentang perkara-perkara keimanan seperti malaikat dan juga perkara-perkara ghaibiyyat lain yang menjadi kewajipan kepada umat Islam meyakininya dengan sepenuh hati.


والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 96

message user image