Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Tuan, saya nak bertanya apa hukum hibah setelah meninggal baru hadiah/harta tersebut dipindah milik? Hibah ini membatasi faraid ke?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Hibah ialah pemberian hak milik sesuatu harta oleh seseorang pemberi pada masa hidupnya kepada orang lain sebagai penerima atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang balasan dengan syarat-syarat tertentu, antaranya ijab dan qabul serta qabd atau penerimaan. Hibah akan berkuatkuasa serta merta dengan pemindahan hak milik bertukar daripada pemberi kepada penerima apabila kesemua syarat dipenuhi.
Melakukan hibah dengan meletakkan syarat pemindahan hak milik berlaku selepas kematian menyalahi syarat sah hibah. Meletakkan syarat sebegitu kepada hibah menjadikan ia terikat dengan hukum wasiat. Sekiranya wasiat itu diberikan kepada waris, maka ia tidak sah melainkan dengan persetujuan semua ahli waris. Jika wasiat itu diberikan kepada bukan ahli waris, maka ia terikat dengan kadar tidak melebihi 1/3 daripada keseluruhan harta pusaka.
Pemberian hibah oleh pemilik harta semasa hidupnya kepada orang lain adalah hak pemilik harta tersebut. Namun meninggalkan waris atau ahli keluarga dalam keadaan kaya atau senang dan tidak meminta-minta adalah lebih baik berdasarkan kepada hadis daripada Saad bin Abi Waqas berkata:
جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ، وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا، قَالَ: «يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ»، قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ؟ قَالَ: «لاَ»، قُلْتُ: فَالشَّطْرُ، قَالَ: «لاَ»، قُلْتُ: الثُّلُثُ، قَالَ: «فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ، وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ، فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ، حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ
Maksudnya: Nabi SAW datang menziarahiku ketika aku di Mekah. Baginda tidak suka untuk mati di tempat yang Baginda berhijrah daripadanya. Baginda berkata: Semoga Allah merahmati Ibn 'Afra'. Aku berkata: Ya Rasulullah, aku mewasiatkan hartaku kesemuanya. Baginda menjawab: Tidak boleh. Aku berkata: Separuh? Baginda menjawab: Tidak boleh. Aku berkata: Sepertiga? Baginda: Ya, sepertiga, dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris engkau dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia. Sesungguhnya engkau akan membelanjakan harta engkau dan ia akan sesungguhnya adalah sedekah hatta makanan yang engkau suapkan ke mulut isteri engkau.
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 128