BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai hukum jual beli saham matawang (trade currency). Seperti Bitcoin contohnya, adakah ianya dibenarkan. Kerana pada fahaman saya nilai matawang tak boleh didagangkan. Dan tujuan asal currency exchange adalah untuk kegunaan matawang tersebut di negara yang berkenaan (Contohnya tukar MYR kepada USD untuk kegunaan di U.S). Jika tiada keperluan, tak boleh lah main saham currency walau untuk dijadikan simpanan dalam saham Bitcoin tersebut. Mohon pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan, terdapat dua perkara yang perlu diperjelaskan berdasarkan soalan yang diberikan: 

Pertama: hukum jual beli saham matawang 

Kedua: hukum bitcoin

Hukum Jual Beli Saham Matawang berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut, hukum Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang.

(Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 87)

Difatwakan juga di dalam al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami (22/229) bahawa hukum Forex Trading adalah haram. (Lihat Majallah al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, 22/229)

Antara sebab utama pengharaman Forex Trading adalah:

Pertama: Terdapat padanya unsur riba yang jelas, kerana tiadanya kesamarataan (التَمَاثُلُ).

Kedua: Adanya pihak ketiga (platform Forex) yang bertindak memberi leverage (atau mudah difahami sebagai pinjaman) kepada trader (peminjam) terlebih dahulu, kemudian mengambil komisen daripada peminjam tersebut. Ini disebutkan sebagai jual beli berserta pinjaman (البَيْعُ وَالسَّلَفُ) yang mempunyai larangan secara jelas. Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ

Maksudnya: Tidak halal pinjaman disertakan dengan (syarat) jual beli. (Riwayat Abu Dawud)

Ketiga: Terdapat unsur gharar (ketidakpastian) pada jual beli tersebut. Nabi SAW telah melarang jual beli yang mempunyai unsur ini seperti di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar. (Riwayat Muslim)

Keempat: Trader menjual matawang yang masih belum menjadi miliknya. Forex Trading berlaku dengan dua perkara utama yang dikenali sebagai Open Position (contoh: trader membeli matawang EUR dan menjual USD) dan Close Posititon (contoh: trader menjual EUR dan membeli USD).

Ketika Open Positiontrader menjual matawang USD yang dimilikinya dan membeli EUR, akan tetapi tidak berlaku serah terima (التَقَابُضُ) selagi mana dia tidak berpindah kepada Close Position. Apabila berpindah kepada Close Position pula, trader tersebut menjual semula EUR yang dibeli, meskipun belum berlaku serah terima, dan membeli semula USD.

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ ‏

Maksudnya: “Janganlah kamu jual apa yang bukan milik kamu. (Abu Dawud)

Di dalam Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang diwartakan untuk mengendalikan Forex Trading, hanya Bank Negara Malaysia yang diberikan kuasa penuh untuk mentadbir akta tersebut. Seksyen 4 (1) menyebutkan bahawa trader yang melakukan urusniaga Forex dengan selain daripada Authorised Dealer akan dikenakan tindakan undang-undang.

Manakala untuk hukum bitcoin pula, berikut adalah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-4/2021 yang bersidang pada 8 Muharram 1443H bersamaan 17 Ogos 2021 telah memutuskan bahawa:-

Harus untuk menjalankan urus niaga menggunakan mata wang digital sama ada sebagai perantara pembayaran (medium of payment), pemindahan wang (remittance) dan aset simpanan sekiranya memenuhi parameter-parameter di bawah:

a) Urus niaga melibatkan mata wang digital hendaklah dilakukan melalui platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti sahaja;

b) Pengguna hendaklah mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai:

     i. Jenis, ciri-ciri utama dan risiko berkaitan mata wang digital;

    ii. Perkara-perkara teknikal yang mencukupi mengenai bagaimana untuk memperoleh mata wang digital dan di mana ia perlu disimpan untuk memastikan keselamatannya;

   iii. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh platform pertukaran mata wang digital berlesen yang diluluskan dan dikawal selia oleh pihak berautoriti; dan

   iv. Undang-undang dan peraturan yang berkaitan mata wang digital.

c) Sebagaimana mata wang yang lain, mata wang digital hendaklah tidak digunakan sebagai bayaran kepada barangan, perkhidmatan dan aktiviti tidak patuh Syariah seperti pembelian dadah, pelacuran, perjudian dan pendanaan aktiviti keganasan serta penggubahan wang haram.

Oleh itu, berdasarkan petikan fatwa di atas harus memperdagangkan matawang digital berdasarkan parameter yang disebutkan di dalam keputusan fatwa di atas, iaitu antaranya ia hanya dibenarkan dilakukan di dalam platform-platform yang diluluskan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Untuk maklumat lanjut sila rujuk atau layari laman rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Manakala perniagaan FOREX, hukumnya adalah haram melakukan sebagaimana yang telah dihuraikan.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 406

message user image