BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Saya ingin bertanya beberapa soalan:

1. Ada satu situasi dimana ahli keluarga saya memberitau saya bahawa seorang pemimpin ingin datang ke kawasan tempat tinggal saya, tetapi saya tidak suka akan pemimpin tersebut lalu terkeluar dari mulut saya "buat apa dia datang sini? Sibuk je.." Adakah saya berdosa kepada pemimpin tersebut kerana saya berkata begitu? Sekiranya saya berdosa, apa yang perlu saya lakukan? 

 

2. Kenalan saya pernah membuat permohonan kepada satu badan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman kewangan bagi tujuan pelajaran. Dalam perjanjian pinjaman tersebut, disebutkan bahawa peminjam yakni kenalan saya, perlu mematuhi etika sebagai seorang pelajar. Tetapi kenalan saya pernah meniru ketika peperiksaan, namun tidak pernah diketahui oleh pihak institut pengajian. Tetapi dia telah menyesal dengan perbuatannya itu. Apakah hukum:

a) pelanggaran perjanjian tersebut 

b) sekiranya dia mendapat pekerjaan kerana keputusannya yang cemerlang

c) perlukah dia membuat pengakuan kepada badan kerajaan itu bahawasanya dia telah melanggar perjanjian? Sekiranya didapati bersalah, dia perlu mengembalikan kesemuanya duit pinjaman yang telah diberikan dimana jumlahnya agak besar.

 

Mohon penjelasan dari pihak Tuan. Terima kasih atas masa yang diluangkan untuk soalan2 saya. 

Sekian terima kasih.

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 

Merujuk kepada soalan yang diajukan:

Soalan pertama: Secara umumnya Islam menggalakkan kasih sayang sesama muslim meskipun wujud perbezaan pandangan, menyatakan sesuatu yang boleh mengguris perasaan orang lain jika perkataan tersebut didengari oleh orang yang diperkatakan itu dibimbangi boleh dikategorikan sebagai ghibah yang dilarang dalam Islam. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 12:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu Mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan Mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Berdasarkan huraian di atas jika mampu untuk memohon maaf daripada orang yang diumpat itulah jalan terbaik. Untuk bacaan lanjut berkaitan perkara ini boleh ke link berikut https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/b?id=3470

Soalan Kedua:

a. Melanggar perjanjian merupakan salah satu sifat yang dicela dalam Islam dan ia juga merupakan salah satu dari sifat munafik sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقُ ثَلَاثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ.

Maksudnya: Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu: Apabila dia bercakap dia berdusta, dan apabila dia berjanji dia mungkiri, dan apabila dia diberi amanah dia khianati.

Oleh itu, melanggar perjanjian yang telah dipersetujui bersama merupakan satu dosa dan pelakunya wajib bertaubat.

b. Sekiranya seseorang itu mendapat pekerjaan daripada sijil yang diperolehi dengan cara meniru, hasil kerjanya tetap halal namun dia perlu bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT atas kesilapan yang dilakukannya dahulu.

c. Sekiranya telah termaktub di dalam perjanjian yang ditandatangani agar membuat pengakuan atas setiap kesalahan melanggar perjanjian maka dia perlu membuat pengakuan sebagaimana yang ditetapkan dalam perjanjian, namun jika tidak dinyatakan cukuplah dengan menginsafi kesalahan lalu dan mohonlah keampunan dari Allah SWT dengan memperbanyakkan amalan sunat seperti bersedekah dan juga amalan-amalan baik lain.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 91

message user image