Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Sy dan suami bertengkar. Bergaduh disebabkan suami kantoi menghisap vape. Sy telah memukul suami dalam pertengkaran tersebut. dan pertengkaran berlaku di rumah Ibu Suami sy.
Suami sy berjanji tidak akan mengulanginya lagi tapi utk sy yakin, sy cabar dia untuk lafaz taklik. Tapi dy enggan. Dia suruh sy meminta maaf terlebih dahulu pada ibunya yang dengar pertengkaran kami. Kami ada berbalas kata, suami sy menangis tetapi tidak menyakiti fizikal sy. Malah, sy bertindak lebih agresif dan memukulnya sehinggakan dia melafazkan taklik seperti yang saya pinta.
"sekiranya saya hisap rokok, vape dan pod, saya ceraikan awak talak 3"
tapi katanya, dia tiada niat dan tak sedar apa yang dia lafazkan. Adakah jatuh talak sekiranya dia melanggar? atau adakah lafaz taklik ini tidak sah kerana terdapat unsur paksaan disebabkan kekerasan? Mohon pencerahan.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Nabi SAW menegas di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).
Hadis di atas jelas menunjukkan larangan bermain-main dalam tiga perkara, terutama dalam urusan yang melibatkan talak kerana ia boleh menyebabkan kepada terputusnya hubungan antara suami dan isteri. Suami hendaklah senantiasa berhati-hati dalam menuturkan perkataan terutama ketika berlakunya salah faham atau perselisihan faham antara pasangan, agar tidak berlaku pertikaian di kemudian hari.
Lafaz talak yang sorih (jelas) dan sempurna ayatnya, apabila dilafazkan oleh suami kepada isterinya, walaupun tanpa niat, dalam keadaan marah atau dalam keadaan terpaksa yang tidak memberikan mudarat kepada si suami sekiranya tidak melafazkan talak tersebut, maka lafaz tersebut boleh menyebabkan talak itu jatuh.
Menjawab persoalan yang diajukan, lafaz yang diucapkan adalah lafaz taklik talak yang sorih atau jelas. Namun terdapat hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ وَضَعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah memaafkan dari umatku kesalahan tanpa sengaja, lupa dan diterpaksa. (Riwayat Ibnu Majah).
Walau bagaimanapun, di dalam menentukan sama ada paksaan berserta kekerasan yang dilakukan oleh isteri dengan memukul suaminya itu suatu paksaan yang tam (sempurna) yang menyebabkan taklik talak tidak berlaku atau sebaliknya adalah bidang kuasa pihak Mahkamah Syariah, maka disyorkan agar perkara ini dirujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57.
والله أعلم بالصواب