BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Salam ustaz/ustazah,

Scenario:

Saya selaku suami, selalu berfikir kenapa seorang suami perlu berjaga-jaga dalam melafazkan sesuatu yang boleh membawa maksud kepada penceraian (lafaz kinayah) sehingga saya jadi stress dan risau sekiranya saya ada lafazkan ayat yang boleh menyebabkan perkahwinan kami terbatal kepada isteri saya. 

Disebabkan saya serabut, saya pun berbisik secara bersendirian.

"Cerai pun cerai la aku kisah apa" , 

Ayat ini dilafazkan secara bisikan, ketika saya sedang bersendirian di ruang tamu dan isteri saya berada di dalam bilik tidur. Saya TIADA NIAT langsung untuk ceraikan isteri saya, saya sebut ayat tersebut disebabkan serabut dan malas untuk fikir lagi tentang perkara yang lepas. 

Soalan saya:
1. Adakah ayat tersebut dikira jatuh talak? 

2. Adakah ayat tersebut merupakan lafaz talak yang sah dalam islam?

3. Perlu ke saya buat pengesahan? 

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada kejelasan lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهُنَّ جَدٌّ، وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِّكَاحُ، وَالطَّلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).

Talak kinayah (tidak jelas) pula, seperti ucapan suami kepada isteri: "Antara kita tidak ada hubungan lagi" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Merujuk kepada persoalan tuan berkaitan bisikan lafaz "Cerai pun cerai la aku kisah apa", lafaz ini walaupun ada perkataan cerai tetapi ia dikategorikan sebagai lafaz kinayah, kerana ayat itu boleh dimengertikan dengan pelbagai maksud yang lain selain cerai atau talak, mungkin cerai itu membawa maksud bercerai atau berpisah tempat tidur, atau berpisah seketika untuk masing-masing bertenang atau sebagainya. Oleh yang demikian, sekiranya suami ketika melafazkan ayat tersebut ada berniat cerai atau talak serta lafaz itu sendiri boleh difahami bermaksud talak, maka ia boleh menyebabkan jatuh talak.

Berhubung dengan permasalahan tuan, hanya sekiranya tuan mengucapkan lafaz dengan pasti serta jelas: "aku ceraikan engkau" sahaja akan menyebabkan jatuh talak. Seandainya tuan ragu-ragu atau tidak pasti dengan ucapan yang dilafazkan disertakan tidak berniat untuk menceraikan isteri, bisikan atau lintasan hati, maka talak tidak berlaku.

Sesungguhnya Islam mengambil berat perhubungan suami isteri sebagai suatu hubungan mulia yang menjadi salah satu tanda kebesaran Allah SWT. Oleh itu berhati-hatilah di dalam pergaulan untuk tidak bergurau senda dalam perkara penceraian.    

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 252

message user image