Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum wbt, Datuk Mufti, saya mempunyai persoalan yang ingin dibangkitkan di sini. Untuk makluman Datuk Mufti, ibu dan bapa saudara saya mempunyai seorang anak angkat perempuan yang kini berusia 25 tahun yang masih belum berkahwin dan tinggal serumah bersama dengan ibu dan bapa saudara saya (bukan anak susuan). Ibu dan bapa saudara saya juga mempunyai 4 orang anak (2 lelaki dan 2 perempuan yang berusia antara 18 hingga 36 tahun) dan mereka juga turut sama tinggal di rumah tersebut. Saya ingin bertanyakan kepada Datuk Mufti berhubung batasan aurat dan pergaulan antara anak angkat tersebut dengan kedua ibu bapa angkatnya dan juga dengan adik beradik angkatnya. Ini kerana, saya pernah beberapa kali terlihat situasi di mana angak angkat tersebut hanya memakai tuala mandi ketika keluar dari bilik tidurnya dan ketika keluar dari tandas dan berjalan di hadapan bapa dan adik beradik lelaki angkatnya. Selain itu, saya juga dapati anak angkat tersebut bersalaman dengan bapa dan adik beradik lelaki angkatnya sama seperti anak susuan atau anak kandung. Malah, ada ketikanya anak angkat tersebut tinggal berdua-duaan di dalam rumah tersebut bersama bapa angkatnya (ibu angkatnya keluar untuk urusan-urusan tertentu) atau anak angkat tersebut tinggal berdua-duaan dengan abang angkatnya ketika ibu, bapa dan adik beradik angkat yang lain keluar atau pulang ke kampung. Saya memohon penjelasan Datuk Mufti berhubung persoalan-persoalan yang dibangkitkan di atas dan apakah cara yang sesuai untuk menasihati keluarga tersebut.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, aurat anak angkat tersebut dengan bapa dan adik beradik lelaki angkat wajib ditutup keseluruhan anggota kecuali muka dan tapak tangan kerana bukan mahram. Maka bersalaman juga tidak dibenarkan dengan seluruh ahli keluarganya yang lelaki. Oleh kerana bukan mahram atau anak susuan maka hukumnya adalah sama seperti ajnabi yang lain. Sebaiknya peringatkan kepada mereka batas pergaulan dan hukum berkaitan aurat dan hubungan dengan bukan mahram. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.