BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum....soalan saya

Ada segelintir jamaah... saya lihat melakukan solat sunat qobliah subuh semasa solat berjamaah/solat fardu berlangsung.adakah kita boleh melakukan solat sunat tersebut.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Menjawab persoalan yang diajukan, memulakan solat sunat qabliyah Subuh sedangkan Imam telah memulakan solat Subuh, hukumnya adalah makruh. Iini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِذَا أُقِيمَتْ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

Maksudnya: Jika iqamah solat sudah dikumandangkan, tidak ada solat lagi kecuali solat wajib. (Riwayat Muslim)

Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Minhaj Syarh Sahih Muslim: “Makruh untuk mendapatkan nafilah (dengan menunaikan solat) selepas iqamah dilaungkan seperti solat sunat (ratib) Subuh, Zuhur dan selainnya sama ada mengetahui dirinya akan mendapat rakaat bersama imam ataupun tidak.” 

Namun sekiranya makmum sedang solat sunat qabliyah, kemudian iqamah dilaungkan, maka disunatkan untuk menyempurnakan solat sunat tersebut. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 33:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَٰلَكُمۡ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan janganlah kamu membatalkan (yakni merusakan pahala) amal-amalmu. (Surah Muhammad: 33)

Digalakkan untuk meringankan (meringkaskannya dengan meraikan segala rukun solat) solat sunat tersebut dan bersegera untuk mendapatkan pahala berjemaah dan lebih utama lagi untuk mendapatkan takbiratul ihram bersama-sama imam.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 88

message user image