BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada soalan tentang aplikasi Forex Meta Trader 4 Islamic Akaun, adakah ia patuh syariah atau tidak. Saya tahu forex haram tetapi kawan kawan saya mengatakan halal sebab ianya ada islamic akaun. Saya cuba mencari maklumat tentang Meta Trader 4 Islamic akaun tetapi tidak jumpa. Jadi saya inginkan jawapan dari pihak tuan sama ada forex Meta Trader 4 Islamic akaun patuh syariah atau tidak? Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
 
Merujuk kepada soalan yang diajukan, Jabatan ini tidak dapat mengesahkan status aplikasi aplikasi Forex Meta Trader 4 yang diutarakan di dalam soalan. Namun sebagai perkongsian dan peringatan bersama berikut dikongsikan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkaitan Hukum Jual Beli Saham Matawang, Muzakarah yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut menyatakan hukum Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang.

(Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 87)

Difatwakan juga di dalam al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami (22/229) bahawa hukum Forex Trading adalah haram. (Lihat Majallah al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, 22/229)

Antara sebab utama pengharaman Forex Trading adalah:

Pertama: Terdapat padanya unsur riba yang jelas, kerana tiadanya kesamarataan (التَمَاثُلُ).

Kedua: Adanya pihak ketiga (platform Forex) yang bertindak memberi leverage (atau mudah difahami sebagai pinjaman) kepada trader (peminjam) terlebih dahulu, kemudian mengambil komisen daripada peminjam tersebut. Ini disebutkan sebagai jual beli berserta pinjaman (البَيْعُ وَالسَّلَفُ) yang mempunyai larangan secara jelas. Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ

Maksudnya: Tidak halal pinjaman disertakan dengan (syarat) jual beli. (Riwayat Abu Dawud)

Ketiga: Terdapat unsur gharar (ketidakpastian) pada jual beli tersebut. Nabi SAW telah melarang jual beli yang mempunyai unsur ini seperti di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar. (Riwayat Muslim)

Keempat: Trader menjual matawang yang masih belum menjadi miliknya. Forex Trading berlaku dengan dua perkara utama yang dikenali sebagai Open Position (contoh: trader membeli matawang EUR dan menjual USD) dan Close Posititon (contoh: trader menjual EUR dan membeli USD).

Ketika Open Positiontrader menjual matawang USD yang dimilikinya dan membeli EUR, akan tetapi tidak berlaku serah terima (التَقَابُضُ) selagi mana dia tidak berpindah kepada Close Position. Apabila berpindah kepada Close Position pula, trader tersebut menjual semula EUR yang dibeli, meskipun belum berlaku serah terima, dan membeli semula USD.

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ ‏

Maksudnya: Janganlah kamu jual apa yang bukan milik kamu. (Abu Dawud)

Di dalam Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang diwartakan untuk mengendalikan Forex Trading, hanya Bank Negara Malaysia yang diberikan kuasa penuh untuk mentadbir akta tersebut. Seksyen 4 (1) menyebutkan bahawa trader yang melakukan urusniaga Forex dengan selain daripada Authorised Dealer akan dikenakan tindakan undang-undang.

Berdasarkan keputusan-keputusan di atas adalah dinasihatkan agar para pelabur mencari peluang pelaburan dalam platform selain forex agar dapat mengelakkan diri dari perkara khilaf. Semoga Allah memberikan jalan keluar terbaik dalam membuat keputusan. 

Disarankan untuk merujuk kepada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang berautoriti serta bertanggungjawab mengawal pelaburan-pelaburan kewangan di Malaysia.


والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 211

message user image