Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya mempunyai masalah hati yang sentiasa niat utk murtad dan masalah ini telah berlaku selama beberapa tahun. Saya telah cuba untuk resist dengan kuat tetapi gagal. Adakah solat saya sah selama ini. Tetapi ketika tahiyat akhir ada ucapan 2 kalimah syahadat dan selepas solat saya juga ucap 2 kalimah syahadah. Saya penat hidup begini dan masalah ini telah berlaku selama beberapa tahun. Masalah ini telah membuatkan saya mengalami tekanan dan depresi melampau dgn ibadat saya.
Jawapan
وعليكم ورحمة الله وبركاته السلام
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد
Sekiranya niat untuk murtad datang dari dalam hati sendiri dengan keyakinan untuk murtad maka terkeluarlah seseorang itu daripada Islam dan solat yang dilaksanakan akan terbatal.
Namun sekiranya niat untuk murtad hanya datang dalam bentuk lintasan hati, maka ia dimaafkan dan hanyalah merupakan gangguan perasaan atau bisikan daripada syaitan. Ia tidak menjadikan solat serta amal ibadah yang telah dilakukan sebelum ini terbatal.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya selagimana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan). (Riwayat al-Bukhari)
Apa yang saudari boleh lakukan adalah sentiasa memperbahuri iman dengan cara memperbanyakkan ucapan (لا اله الا الله) sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ نُجَدِّدُ إِيمَانَنَا، قَالَ: أَكْثِرُوا مِنْ قَوْلِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ
Bermaksud: Perbaharuilah iman kamu, Rasulullah ditanya: Bagaimana cara untuk memperbaharui iman kami. Rasulullah SAW bersabda: Perbanyakkan berkata لا اله الا الله. (Riwayat Ahmad).
والله أعلم بالصواب
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 93