BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz,

Saya ingin bertanya mengenai haid. Saya mengambil perancang keluarga (injek depo) yang membuatkan haid saya tidak berhenti (spotting). Dalam tempoh 6bulan, hanya 3hari bersih. Saya akan berhenti solat apabila darah keluar berwarna coklat atau berbau dan akan menunggu selama 15hari untuk mandi dan bersolat semula. Soalan saya, apabila tempoh 15hari tamat dan saya bersih selama 3hari tapi darah kembali keluar pada hari 19, adakah saya dalam keadaan putaran haid yang baru? darah tidak berbau pada hari ke-19. Atau, saya hanya dikira haid apabila warna dan terdapat bau pada darah.
Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Apa yang kami faham dari senario yang puan sebut ialah puan tahu membezakan darah yang kuat dengan darah yang lemah. Ini kerana apabila puan mendapati darah itu berwarna coklat (atau gelap) dan berbau barulah puan berhenti solat maka kami faham selain daripada darah ini adalah darah yang warnanya lebih terang dan tidak berbau atau kurang baunya.

Oleh kerana puan tahu membezakan bentuk darah maka puan perlu beramal dengan kaedah tamyiz (iaitu membezakan bentuk darah dengan menjadikan darah yang kuat sahaja sebagai haid manakala darah yang lemah adalah istihadah).

Untuk beramal dengan kaedah ini puan hendaklah memastikan seperti berikut:

1.            Darah yang kuat itu cukup 24 jam dan tidak lebih 15 hari. Ini bererti jika darah yang kuat itu sehari semalam atau dua hari atau tiga hari atau 15 hari dan tidak lebih, maka semua darah itu dikira sebagai haid.

2.            Darah yang tidak kuat selepasnya tidak kurang daripada 15 hari, tetapi jika darah yang tidak kuat selepasnya kurang dari 15 hari namun selepasnya tidak ada darah lagi maka syarat ini tidak diambil kira.

Contohnya: Darah kuat yang coklat dan berbau itu datang sepuluh hari kemudian datang darah merah yang tidak berbau atau kurang baunya selama sepuluh hari kemudian darah berhenti, maka puan hendaklah jadikan darah yang kuat itu sebagai haid, manakala darah yang tidak kuat selama 10 hari itu sebagai istihadah, walaupun dalam hal ini darah lemah itu kurang daripada 15 hari.

Contoh 2: Darah kuat datang 10 hari kemudian darah lemah selama 15 hari atau lebih. Contohnya darah kuat 10 hari kemudian darah lemah 2 bulan kemudian datang balik darah kuat selepasnya tidak lebih 15 hari dan cukup 24 jam. Dalam hal ini darah kuat pada 10 hari pertama itu adalah haid. Darah lemah selama 2 bulan itu adalah istihadah dan wajib solat dan wanita itu dikira suci kerana tempoh sekurang-kurang suci ialah 15 hari manakala tempoh maksima suci tidak ada hadnya selagi belum datang semula darah yang kuat. Kemudian darah kuat yang selepas dua bulan itu adalah kitaran haid baru.

3.            Darah lemah yang datang selepas darah kuat itu hendaklah terus menerus dan bukannya berselang seli dengan darah yang kuat. Jika darah lemah itu berselang seli dengan darah yang kuat maka ia dikira tidak boleh dibezakan.

Contohnya: Jika puan mendapati sehari darah hitam, sehari darah merah, kemudian sehari hitam dan sehari merah dan begitulah seterusnya hingga melepasi hari ke 15 maka ini bererti darah-darah itu tidak boleh dibezakan. Maka mestilah berpandukan kepada adat kebiasaan seperti jawapan kami di hujung tulisan ini.

 

Berdasarkan permasalahan yang ditimbulkan oleh puan apa yang kami faham ialah puan didatangi darah kuat yang berbau tetapi puan tidak nyatakan berapa hari darah yang berbau itu. Puan juga tidak nyatakan sebelum datang darah yang berbau ini berapa harikah darah yang lemah sebelum itu? Oleh itu kami andaikan bahawa sebelum itu puan telah didatangi darah yang lemah (tidak berbau) selama sekurang-kurangnya 15 hari kemudian barulah datang darah coklat yang berbau ini. Jika sebelum ini belum cukup 15 hari darah yang lemah, maka puan perlu nyatakan secara detail bagi dibuat pengiraan yang jelas.

Berdasarkan andaian bahawa sebelum ini puan telah melalui sekurang-kurangnya 15 hari yang dikira suci kemudian apabila datang darah coklat yang berbau ini puan nyatakan puan menunggu sehingga lima belas hari kemudian darah itu berhenti. Setelah itu puan bersih (tiada darah selama tiga hari). Jika betul demikian bererti dalam tempoh 15 hari itu memang dikira sebagai darah haid sama ada semua darah itu berbau atau tidak kerana ia tidak melebihi 15 hari. Kalau melebihi 15 hari barulah perlu diasingkan darah yang kuat sahaja dikira sebagai haid, manakala darah yang lemah dikira sebagai istihadah. Hari ke 16 hingga hari ke 18 tiada darah. Oleh itu tidak berlaku percampuran haid dengan istihadah. Manakala hari ke 19 datang semula darah yang tidak berbau. Puan bertanya adakah hari ke 19 dikira kitaran haid yang baru? Maka jawapannya ialah tidak kerana untuk dikira kitaran haid baru mestilah berlalu sekurang-kurangnya 15 hari dari hari ke 16. Bererti kitaran haid baru hanya berlaku jika ada darah pada hari ke 31.

Kami juga perlu membuat andaian kedua jika berlaku kepada puan. Andaian itu ialah bermula dari datangnya darah coklat yang berbau kemudian masih ada darah terus menerus sehingga melepasi hari ke 15. Maka jika begini yang terjadi barulah dinamakan haid telah bercampur dengan istihadah. Oleh itu hendaklah dilihat sejak dari hari pertama datangnya darah coklat yang berbau itu berapa harikah sifat darah itu kekal sedemikian. Jika darah yang berbau itu kurang daripada 15 hari mana selebihnya adalah darah lemah maka hanya diambil darah yang berbau (darah kuat) dikira sebagai haid manakala yang lemah dikira sebagai istihadah.

Tetapi jika darah yang berbau itu kekal keadaannya sehingga melepasi 15 hari, maka ini bererti darah itu tidak boleh dibezakan (diasingkan) manakah darah haid dan manakah darah istihadah kerana kesemuanya adalah darah kuat. Oleh itu, di sini puan mestilah menjadikan bilangan haid puan ialah mengikut adat kebiasaan sebelum terjadinya gejala ini.

Bahawa darah yang keluar berterusan sehingga melepasi 15 hari tempoh maksimum haid. Ini bermakna darah haid telah bercampur dengan darah istihadah. Sekiranya darah-darah itu tidak boleh dibezakan maka antara kaedah yang puan boleh gunakan di dalam menentukan tempoh haid adalah dengan cuba mengingati semula haid terakhir puan yang normal sebelum berlakunya darah berterusan ini. Begitu juga cuba ingat semula jumlah hari suci terakhir puan.

Sebagai contoh, sekiranya sebelum terjadinya gejala darah berterusan ini, haid puan adalah 8 hari, kemudian suci selama 20 hari, kemudian berlakulah gejala ini. Maka penyelesaiannya ialah apabila sahaja darah yang datang itu melepasi 15 hari maka hari ke 16 sepatutnya puan mandi dan solat. Kemudian jadikan haid puan hanya 8 hari sahaja dan suci puan ialah 20 hari. Ini bererti kitaran haid puan ialah 28 hari. Selepas berlalu 28 hari yang merupakan kitaran haid puan iaitu campur hari haid dan hari suci yang normal sebelum ini, maka hari ke 29 itu anggap haid baru pula selama 8 hari, kemudian mandi dan anggap suci selama dua puluh hari, dan begitulah yang dilakukan selagi gejala itu belum tamat. Jika gejala darah berterusan ini tamat suatu hari nanti, maka mulakan pengiraan haid seperti biasa sebelum terjadinya gejala ini.

Puan disarankan untuk merujuk perkara tersebut kepada doktor perubatan. Dikhuatiri seandainya ia berterusan akan mendatangkan kemudharatan kepada puan. Puan mungkin boleh mencari kaedah merancang keluarga yang lain yang serasi dengan puan.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 78

message user image