BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT semoga dalam rahmat Ilahi, saya ingin bertanya hukum melabur dalam platform yang dipanggil justmarkets iaitu platform pelaburan emas yang didagang dipasaran antarabangsa,saya telah memasukkan lebih kurang RM500 dalam platform tersebut dan membiarkan ia digunakan oleh 'jerung-jerung' dalam platform tersebut utk meraihkan keuntungan, dan saya dapat lihat ada duit yang masuk dalam matawang US ke account Justmarkets saya. Jadi saya tertanya, dari segi hukum syarak adakah jualbeli tersebut dibenarkan kerana saya tidak tahu bagaimana cara mereka dagangkan duit tersebut utk jualbeli emas, adakah jualbeli tersebut mengandungi riba dan halal haram nya. Mohon penjelasan dari pihak Dato Mufti.Semoga Allah memberkati.


message user image

Jawapan  

 

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Emas merupakan salah satu daripada item ribawi, segala transaksi dan urusan jual beli mestilah berlandaskan dengan apa yang telah ditetapkan oleh syarak agar tidak berlakunya riba. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW:

الذَّهبُ بالذَّهبِ والفضَّةُ بالفِضَّةِ والبُرُّ بالبُرِّ والشعِيرُ بالشعِيرِ والتمْرُ بالتمْرِ والمِلحُ بالمِلحِ مِثْلًا بِمِثْلٍ سوَاءً بِسَواءٍ يدًا بِيَدٍ، فإذَا اخْتَلَفَت هذهِ الأصْنَافُ ، فبيعوا كيفَ شئْتُمْ ، إذَا كانَ يدًا بِيَد

Maksudnya: (Jual Beli) Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, bali dengan bali, tamar dengan tamar, garam dengan garam, mesti sama banyak (timbangan atau sukatan) serta tangan ke tangan (secara tunai dan saling menerima dalam satu majlis). Apabila berlainan jenis maka juallah mengikut apa yang kamu kehendak, selama ia dilakukan dari tangan ke tangan (secara langsung). (Riwayat Muslim)

Berdasarkan persoalan tuan, peranan tuan adalah pemberi modal dan menyerahkan bayaran serta diuruskan oleh admin atau peniaga dalam platform tersebut. Sehinggakan tuan tidak mengetahui urus niaga di sebaliknya. Justreru perniagaan seumpama ini wajar dielakkan kerana ditakuti tidak menepati syariat Islam. Tuan sewajarnya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berautoriti iaitu Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum menyertai mana-mana platform pelaburan khususnya perniagaan emas.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 98

message user image