BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalammualaikum ustaz,izinkan saya bertanya, saya terjebak dengan judi nombor ekor, saya dah insaf dan ingin bertaubat…minta ustaz doakan saya supaya istiqomah.

Soalan saya ialah kalau kita ada beli makanan seperti keropok ataupun roti dengan duit haram tersebut tetapi makanan tersebut kita belum makan lagi dalam keadaan kita sudah pun bertaubat,perlukah kita buang makanan tersebut ataupun beri kepada fakir miskin ataupun macam mana ustaz.Mohon pencerahan ustaz.

Jazakallahu khair.Terima kasih ustaz.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu: Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

i. Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;

ii. Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau

iii. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada baitulmal.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, makanan yang telah dibeli hendaklah disedekahkan kepada orang lain. Namun seandainya tiada orang lain atau saudara sendiri memerlukannya, maka diharuskan untuk memakannya bagi mengelakkan pembaziran yang mana ia dilarang oleh Allah SWT.  

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 126

message user image