Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ada orang tanya soalan pada saya, beliau kematian suami. Suami meninggal dunia di Penang akan tetapi jenazah suami perlu dibawa ke rumah ibubapanya di Taiping. Soalannya: Bolehkah si isteri mengiringi jenazah suaminya ke rumah mertuanya di Taiping sedangkan beliau dalam tempoh Iddah.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, seorang wanita yang kematian suami wajib ihdad (tidak berhias) sepanjang tempoh iddahnya. Ini berdasarkan kepada hadith nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah Binti Abu Sufiyan RA bahawa baginda SAW bersabda: لا يحل لإمرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تحد على ميت فوق ثلاث ليال إلا على زوج أربعة أشهر وعشرا Maksudnya : “Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat untuk ihdad (tidak berhias) melebihi tiga hari kecuali kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari.” (Riwayat al-Bukhari) Sepanjang tempoh tersebut, seseorang wanita tidak boleh keluar dari rumahnya melainkan dharuroh (mendesak) atau hajat yang penting seperti ke hospital untuk rawatan, dan ke kedai membeli makanan sekiranya tiada orang lain yang boleh membelikan untuknya. Begitu juga dengan mengiringi jenazah suaminya ke tanah perkuburan adalah tidak dilarang dengan syarat ia dilakukan pada waktu siang dan ditemani oleh mahramnya, kerana hajat dan keperluan. Tambahan pula nabi SAW telah membenarkan balu-balu syuhada’ perang Uhud yang sedang dalam iddah untuk keluar rumah dan berbicara sesama mereka pada waktu siang. Namun, demikian tidak mengiringi jenazah suaminya ke kubur adalah lebih afdhal. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.