BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum

Adakah jatuh talak atau maksud tersirat Jika seorang suami ketika Ada perselisihan faham dengan isteri tanpa sengaja berkata " awak (isteri) jangan balik sini lagi ( Rumah suami )"

adakah yang perlu dilakukan Oleh si isteri?

Minta pencerahan.

 

terima kasih

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Terdapat dua jenis talak berdasarkan kepada kejelasan lafaz yang diucapkan oleh suami. Pertama: talak sorih (jelas), dan kedua: talak kinayah (tidak jelas). Talak sorih, seperti ucapan suami kepada isteri: "Aku ceraikan engkau", atau "Aku talakkan engkau" dan sebagainya maka talak akan berlaku walaupun tanpa niat, walaupun suami hanya bergurau senda. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهُنَّ جَدٌّ، وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِّكَاحُ، وَالطَّلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya dianggap bersungguh-sungguh, iaitu, nikah, cerai, rujuk semula (selepas talak). (Riwayat Abu Daud).

Yang kedua adalah talak kinayah (tidak jelas), ia seperti ucapan suami kepada isteri: " Kau bukan isteri aku", "Antara kita tidak ada hubungan lagi" dan sebagainya maka ia bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Namun, jika suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.

Lafaz yang suami puan nyatakan iaitu "awak (isteri) jangan balik sini lagi ( rumah suami )" adalah merupakan lafaz secara kinayah. Oleh yang demikian, sekiranya suami tidak berniat cerai, maka talak tidak jatuh dan sebaliknya jika suami berniat cerai, maka ia boleh membawa jatuhnya talak.

Walau bagaimana pun, urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka puan atau suami hendaklah merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 94

message user image