Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Adakah saya perlu ganti puasa saya sekiranya saya terlupa untuk niat puasa untuk hari tersebut, walaupun saya sudah pun berniat untuk berpuasa selama satu bulan?
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada soalan yang diajukan, berniat puasa Ramadhan pada malam hari adalah salah satu daripada syarat sah puasa Ramadhan bagi pandangan mazhab Syafi'i. Walau bagaimanapun pada masa yang sama adalah disarankan untuk berniat puasa selama sepanjang bulan Ramadhan pada malam pertama bulan Ramadhan mengikut pandangan mazhab Maliki. Ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya terlupa untuk berniat pada malam hari.
Oleh itu, sekiranya saudara terlupa untuk berniat puasa Ramadhan pada malam hari, namun telah berniat selama sebulan pada malam hari pertama bulan Ramadhan, maka puasa saudara adalah sah dan tidak perlu diqada'. Namun, saudara tidak diharuskan dengan sengaja untuk tidak berniat puasa Ramadhan pada malam hari.
.والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.
Tahun Soalan : 2024
Jumlah Pelawat : 51